SELANGOR

Berlari sambil nikmati panorama kampung, sawah bendang

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MEI: Penggemar acara larian dipelawa menyertai Larian Amal Kuala Selangor 2019 di padang terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor, pada 29 Jun ini.

Program julung kali anjuran Persatuan Alumni SMKA Kuala Selangor dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) itu sempena Karnival Jubli Perak sekolah berkenaan yang bakal diraikan tahun ini.

Uniknya menerusi acara itu, peserta berpeluang menikmati laluan larian berlatarkan panorama kampung, sawah bendang dan merentasi jambatan utama di daerah terbabit.

Terdapat lima kategori dipertandingkan membabitkan kategori terbuka individu lelaki dan wanita bagi jarak tujuh, lima dan tiga kilometer (km), manakala kategori khas bagi pelajar sekolah menengah dari 13 hingga 18 tahun sejauh lima km termasuk larian santai tiga km membabitkan penyertaan sekeluarga.

Bagi kategori terbuka tujuh km, yuran sebanyak RM45 dikenakan kepada peserta, sementara RM40 dan RM35 masing-masing bagi lima km dan tiga km.

Pelajar sekolah adalah serendah RM25, manakala pakej keluarga termasuk dua dewasa dan dua kanak-kanak adalah RM95.

Setiap pendaftaran akan memperoleh baju T, beg sandang, sarapan, sijil dan pingat bagi pemenang pertama hingga ketiga untuk setiap kategori serta berpeluang memenangi cabutan bertuah.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang http://jubliperaksmkaks.com/borang-penyertaan-rabitah-fun-run-2019/ atau https://bit.ly/2ITQrS3.


Pengarang :