GLOBALNASIONAL

BJP raih kemenangan besar dalam PRU India untuk memerintah lima tahun lagi

NEW DELHI, 23 Mei: Parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) pada Khamis dijangka mendapat mandat yang besar untuk memerintah negara itu bagi tempoh lima tahun lagi.

Trend pengiraan undian terkini daripada Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan parti Perdana Menteri Narendra Modi dan sekutunya mendahului di 350 kawasan daripada sejumlah 542 kerusi Lok Sabha (dewan rakyat di parlimen) yang dipertandingkan.

BJP mendahului di hampir 300 kerusi manakala pakatan pembangkang Kongres meraih kemenangan di 53 kawasan.

Kongres yang diterajui Perikatan Progresif Bersatu (UPA) menang di 90 kawasan dan tidak mampu mencabar BJP yang diterajui Perikatan Demokratik Nasional (NDA) di beberapa negeri yang penduduknya bertutur dalam bahasa Hindi dan penting dari segi politik, dikenali sebagai Cow Belt, serta negeri di bahagian barat iaitu Gujarat dan Maharashtra.

Pemimpin BJP dan Menteri Luar Sushma Swaraj memberikan kredit kepada Modi “kerana berjaya meraih kemenangan yang sebegitu besar” untuk parti.

BJP telah menjalankan kempen pilihan raya yang berkesan menggunakan isu keselamatan negara dan mendapat manfaat daripada ketegangan ketenteraan yang semakin memuncak dengan Pakistan.

Retorik nasionalis Hindu BJP menumpulkan percubaan pembangkang untuk menewaskan parti pemerintah dalammisu seperti pengangguran belia, kesengsaraan petani, dakwaan rasuah dalam perjanjian pesawat tentera Rafale dan ketidakpuasan hati terhadap ekonomi.

“Nampaknya isu nasionalisme membuahkan hasil kepada mereka (BJP) di negeri-negeri bahagian utara dan Karnataka (di selatan India),” kata Setiausaha Agung Parti Komunis India (CPI) Suravaram Sudhakar Reddy kepada media tempatan.

Sesebuah parti memerlukan 272 kerusi untuk mendapat majoriti di Lok Sabha, yang mempunyai 545 anggota, termasuk dua wakil yang dicalonkan daripada komuniti Anglo-India.

Memenangi negeri Uttar Pradesh (UP) di bahagian utara adalah kunci kepada aspirasi mana-mana parti untuk memerintah negara yang mempunyai penduduk berjumlah 1.3 bilion itu.

BJP mendahului dengan 56 kerusi di UP, negeri yang mempunyai penduduk paling ramai dan 80 kerusi parlimen.

Pakatan Parti Bahujan Samaj (BSP) dan Parti Samajwadi memenangi 19 kerusi.

Presiden Kongres Rahul Gandhi, yang bertanding di kawasan Amethi, mengikuti rapat calon BJP yang juga menteri persekutuan Smriti Irani manakala ibunya, Sonia Gandhi mendahului di kubu kuat tradisional parti itu, Rae Bareli.

Rahul bagaimanapun mendahulu di kawasan Wayanad di selatan negeri Kerala manakala sebuah lagi parti gabungan Kongres, Barisan Demokratik Bersatu (UDF) memenangi 19 daripada 20 kerusi yang dipertandingkan.

Liga Persatuan Muslim India (IUML) mendahului di kerusi parlimen Kerala.

Kira-kira 600 juta daripada 900 juta pengundi yang layak mengambil bahagian dalam proses pengundian secara besar-besaran yang berlangsung antara 11 April dan 19 Mei, yang telah dicemari oleh dakwaan pembangkang berkaitan isu manipulasi mesin mengundi dan pelanggaran peraturan kempen. -BERNAMA

Foto Ihsan: Facebook Narendra Modi


Pengarang :