BERITA UTAMASELANGOR

Blue Tears Kuala Selangor kagumkan rombongan Tengku Permaisuri

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 2 MEI: Kecantikan fenomena ‘Blue Tears’ atau Air Mata Biru di permukaan pantai di sini membuatkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan rombongannya berasa teruja.

Baginda berkenan menaiki bot bersama Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim bagi melihat fenomena yang hanya berlaku di Kuala Selangor serta terletak berdekatan dengan lokasi tarikan pelancong paling popular iaitu Sky Mirror, malam tadi.

Suee Lim berkata, Blue Tears adalah produk pelancongan terbaru yang membawa pelancong datang pada waktu malam, ke daerah itu.

“Hari ini kita bawa Permaisuri pula melihat keindahan Blue Tears yang jarang kali berada di tempat lain, ia hanya berada di Kuala Selangor.

“Tujuan lawatan ini diadakan kerana mahu menggabungkan produk Sekinchan dan Kuala Selangor supaya akan wujudnya pakej tiga hari dua malam buat pelancong sekali gus mampu mempelbagaikan produk tarikan di kedua-dua daerah ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu pemilik Sky Mirror Tour & Travel, Dyven Wong berkata, fenomena ‘Blue Tears’ terhasil daripada fitoplankton iaitu sejenis tumbuhan marin mikroskopik yang hanyut di permukaan air.

Wong berkata, ia kemudiannya menghasilkan cahaya biru terang apabila bertindak balas dengan kandungan oksigen dalam air laut.

Katanya, mereka mula menemui fenomena itu pada sekitar tahun lalu dan ia semakin kerap dilihat.

“Kami adalah satu-satunya syarikat pelancongan berlesen untuk membawa pelancong menyaksikan keajaiban alam berkenaan.

“Lawatan ini disediakan setiap malam pada jam 8, 9 dan 10 malam. Kawasan sekitar yang lebih gelap membolehkan seseorang melihat Blue Tears dengan lebih baik.

“Walaubagaimanapun, ia mungkin tidak sama apabila anda cuba menangkap dengan kamera, hanya mata kasar boleh melihat kecantikan ini,” katanya.

Lawatan itu adalah antara program dalam lawatan mesra baginda ke Sekinchan.

Lawatan selama satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawat beberapa tempat menarik di sini, semalam.

Antara kawasan lain yang turut dilawati adalah kedai barangan antik, Ah Ma House; kilang padi PLS Marketing Sdn Bhd dan Wisma Masri, Parit 7, Kilang Khind dan Restoran Secret Garden.


Pengarang :