NASIONAL

Bomba terima 103,998 panggilan kecemasan sepanjang 2018

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Sejumlah 103,998 panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sepanjang tahun lalu dengan 36,046 panggilan membabitkan kebakaran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, panggilan kecemasan yang diterima tahun lalu adalah paling tinggi, iaitu mencecah 100,000 untuk tempoh 10 tahun.

“Ia sesuatu yang membimbangkan… selain kebakaran, sebanyak 58,492 adalah panggilan kecemasan membabitkan penyelamatan dan khidmat khas (9,141). Kami juga terima 319 panggilan palsu.

“Jumlah panggilan membabitkan kebakaran turut meningkat jika dibandingkan dengan jumlah panggilan yang diterima pada tahun sebelum ini iaitu 29,356,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya berusaha untuk menurunkan kadar itu dengan mengenal pasti lokasi berisiko kebakaran dan pencegahan yang diambil turut merangkumi prinsip 4E iaitu Penguatkuasaan (Enforcement), Pendidikan (Education), Kejuruteraan (Engineering) dan Pengurusan Kecemasan (Emergency Management)

Tahun ini, sejumlah 45,528 panggilan kecemasan diterima dalam tempoh Januari hingga April melibatkan 24,767 berkaitan kebakaran, penyelamatan (20,024), khidmat khas (593) dan panggilan palsu (144).

-BERNAMA

 


Pengarang :