SELANGOR

‘Bonceng YB’, sumbang bantuan Aidilfitri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MEI: Ramadan yang dirai dengan kesyukuran dan keinsafan menjadikan bulan ini cukup sinonim dengan sedekah bagi memberikan kegembiraan buat golongan kurang bernasib baik.

Meneruskan aktiviti amal jariah pada bulan mulia ini, Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis dan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jawa menyampaikan bantuan kepada 42 keluarga kawasan sekitarnya.

Menerusi ‘Bonceng YB, Ziarah Kasih Ramadan’, sumbangan berupa barangan keperluan asas dan duit raya dihulurkan kepada kumpulan sasar.

Bantuan yang diberikan adalah berbentuk barangan makanan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum, susu, teh, kopi, kurma dan kuih raya di samping wang tunai RM80 untuk setiap keluarga.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, program berkenaan diadakan khusus mendekati serta membantu golongan yang kurang bernasib baik serta warga emas.

“Program ini bertujuan meringankan beban mereka bagi membuat persediaan menyambut Syawal yang bakal tiba.

“Aktiviti ini juga komitmen secara berterusan pihak DUN untuk membantu masyarakat melalui program kemasyarakatan, di samping memberi peluang kepada penduduk untuk mendekatkan diri dengan pejabat khidmat.

“Malah, program yang dianjurkan ini juga menjadi platform kepada pihak kami untuk merapatkan hubungan silaturahim dan ukhuwah bersama masyarakat setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Hadir sama menyampaikan bantuan Ahli Majlis N49A Shah Alam dan Ketua Kampung Kg Jawa, Mohd Hafiz Anuar.

Pada masa sama, Mohd Zawawi berharap menerusi program itu, ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka yang kurang bernasib baik.


Pengarang :