SELANGOR

Bonus tanda kepercayaan kepada penjawat awam

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 17 MEI: Penjawat awam Selangor menyifatkan pemberian bantuan khas kewangan oleh Kerajaan Negeri adalah bukti kepercayaan terhadap golongan itu dalam menjalankan dasar kerajaan.

Pegawai Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat SUK, Sulaiman Azhar Halpi berkata, pemberian itu adalah tanda kerajaan menghargai penjawat awam yang berhempas pulas bekerja.

 

“Bonus ini juga adalah bukti Kerajaan Negeri memberi kepercayaan penuh kepada penjawat awam dalam menjalankan dasar kerajaan tanpa prejudis.

“Alhamdulillah, dari segi masa pemberian sangat bersesuaian, biasa kita belanja persediaan raya dengan duit gaji, jadi beri pada hari ketiga raya boleh tampung perbelanjaan selepas raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam Kerajaan Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad berkata, konsep pemberian bonus dilaksana Dato’ Menteri Besar adalah sesuatu yang bijak kerana mendorong penjawat awam bekerja bersungguh-sungguh.

 

“Pada saya Dato’ Menteri Besar tahu bagaimana hendak menjadikan penjawat awam yang selama ini ‘penumpang menjadi pemandu’, pada saya itu sesuatu yang sangat hebat.

“Ucapan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar kerana keluar dengan sesuatu yang lain, ia bukan sekadar berapa jumlah dibayar tetapi konsepnya. Bila semua bekerja bersungguh, yang dapat manfaat adalah rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Penolong Pegawai Tanah Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Raihana Jamilla Jamaluddin berkata, beliau tidak menyangka Kerajaan Negeri akan memberi bonus sebanyak tiga bulan gaji.

 

“Saya ucap terima kasih banyak kepada kepimpinan Selangor kerana masih menjaga kebajikan penjawat awam,” katanya.

Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan, iaitu Insentif Mahabbah Selangor satu bulan gaji kepada 19,244 penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri yang akan dibayar pada 7 Jun.

Kerajaan Negeri turut membuat keputusan memuktamadkan jumlah bantuan khas kewangan untuk tahun ini sebanyak tiga bulan gaji.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 


Pengarang :