GLOBAL

Britain umum RUU larang guna haiwan liar dalam sarkas

LONDON, 2 MEI: Setiausaha Alam Sekitar Britain, Michael Gove pada Rabu mengumumkan satu rang undang-undang baharu bagi melarang penggunaan haiwan liar oleh sarkas bergerak di seluruh England, lapor agensi berita China Xinhua.

Rang Undang-Undang Haiwan Liar dalam Sarkas bermaksud pengusaha sarkas bergerak di England tidak lagi boleh menggunakan haiwan sebagai sebahagian daripada persembahannya.

“Sarkas bergerak bukanlah tempat untuk haiwan liar dalam abad ke-21, dan saya gembira undang-undang ini akan menghentikan amalan itu buat selama-lamanya,” kata Gove.

Menteri Kebajikan Haiwan David Rutley berkata: “Undang-undang ini akan merealisasikan larangan yang selama ini dipinta oleh kebanyakan badan amal dan anggota parlimen. Masyarakat umum masih boleh menikmati pertunjukan sarkas namun adalah baik untuk mengetahui bahawa haiwan liar bukan lagi sebahagian daripada aksi yang akan mereka lihat.”

Pengumuman itu dibuat susulan komitmen oleh kerajaan Britain pada Februari 2018 untuk memperkenal satu larangan memandangkan peraturan pelesenan sementara akan tamat tempoh pada Januari 2020, selepas bertahun-tahun kumpulan hak asasi manusia berkempen.

Dengan undang-undang serupa diluluskan di Scotland dan dijangka dibawa ke parlimen di Wales, perintah larangan itu nampaknya akan dilaksanakan di seluruh Britain tidak lama lagi.

“Selepas bertahun-tahun menunggu isu ini diselesaikan, Born Free gembira kerana Encik Gove kini akan membentangkan usul ini,” kata Chris Draper, ketua Kebajikan dan Penangkapan Haiwan di badan amal hidupan liar antarabangsa Yayasan Born Free, sambil menambah bahawa pertubuhan itu dan penyokongnya menantikan kemajuan pantas rang undang-undang tersebut melalui parlimen.

— BERNAMA

 


Pengarang :