NASIONAL

Buka kilang haram dalam hutan simpan, warga Indonesia dipenjara

KUANTAN, 15 MEI: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan seorang warga Indonesia dipenjarakan selama lapan bulan, selepas mengaku salah atas tuduhan menguruskan kilang papan haram dan menceroboh hutan simpan, Januari lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan Amirudin, 55, menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 31 Januari.

Amirudin didakwa menguruskan kilang papan bergerak tanpa lesen pada 12.15 tengah hari, 31 Januari lepas di kompartmen 129, Hutan Simpan Bukit Ibam di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut subseksyen 3(3) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 (Negeri Pahang) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 3(4) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa menceroboh kawasan hutan tertutup tanpa kebenaran pada masa dan di tempat yang sama, yang merupakan kesalahan di bawah subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 47(4) akta sama.

Kesalahan itu boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang bertubuh kecil itu dan tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan atas alasan menanggung keluarga di negara asal.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mason Jaro Lenya Barayan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam Op Tanglung yang dijalankan Jabatan Hutan Pahang semasa sedang memandu jentera ‘forklift’ yang dipercayai digunakan untuk mengangkat kayu ke kilang bergerak di situ.

Dalam operasi itu, pihak penguatkuasaan jabatan hutan turut menyita peralatan kilang itu antaranya satu mesin gergaji 30 inci, enjin diesel, tangki minyak dan 15 gelung mata gergaji.

– BERNAMA

 


Pengarang :