NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Saham di Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini di tengah-tengah kebimbangan pelabur berhubung prospek perjanjian antara Beijing dan Washington yang kian suram.

Pada 9.02 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.96 mata kepada 1,632.41 berbanding 1,639.37 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk utama itu dibuka susut 3.81 mata kepada 1,635.56.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 241 berbanding 39 manakala 127 kaunter tidak berubah, 1,499 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 80.11 juta saham bernilai RM36.24 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd mengekalkan pandangannya bahawa pasaran tidak menentu berikutan retorik perang dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan walaupun di peringkat tempatan menyaksikan saham-saham mencatat kenaikan semula semalam berikutan jangkaan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) serta cadangan penggabungan dua syarikat gergasi telekomunikasi, Axiata Group Bhd dan Telenor ASA.

“Kami menganggap kenaikan semalam sebagai sementara dan tekanan untuk susut akan berulang semula. Kenaikan semula saham-saham berharga rendah pada Selasa mungkin terjejas akibat pengambilan untung susulan peningkatan sentimen perang perdagangan yang kembali ketara,” kata firma penyelidikan itu.

Malacca Securities turut menyifatkan persekitaran tidak menentu itu akan ketara di pasaran secara meluas dan mencetuskan aktiviti pengambilan untung.

“Kalangan pakar ekonomi telah menjangkakan penurunan OPR pada separuh kedua 2019 dan langkah Bank Negara Malaysia mengumumkan perkara itu semalam dilihat sebagai langkah awal terhadap kemungkinan jangkaan kelembapan ekonomi Malaysia yang boleh menjejaskan pendapatan bank pada masa depan,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut empat sen kepada RM8.95, Public Bank turun 18 sen kepada RM22.30, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM9.05 manakala Maxis kehilangan tiga sen kepada RM5.50.

Bagi saham aktif, Bumi Armada dan MQ Technology masing-masing rugi setengah sen kepada 21 sen dan empat sen, Ekovest merosot dua sen kepada 89 sen manakala Xinghe tidak berubah pada 2.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 56.51 mata kepada 11,529.73, Indeks FBMT 100 susut 52.93 mata kepada 11,363.08 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 66.38 mata kepada 11,765.43.

FBM 70 pula berkurangan 84.61 mata kepada 14,293.82 dan FBM Ace turun 56.00 mata kepada 4,553.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 52.13 mata kepada 16,650.74, Indeks Perladangan merosot 41.15 mata kepada 7,145.08 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Industri susut 0.18 mata kepada 168.79.

— BERNAMA


Pengarang :