Bursa Malaysia dibuka rendah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada Selasa dengan 29 saham komponen KLCI diniagakan pada paras rendah, menjejaki prestasi suram global selepas China mengumumkan cadangan mengenakan tarif lebih tinggi ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) bernilai U$60 bilion.

Pada pukul 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 26.49 mata kepada 1,574.60 daripada 1,601.09 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka 20.24 mata lebih rendah pada 1,580.85.


Kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 491 berbanding 41, dengan 122 kaunter tidak berubah, 1,255 tidak diniagakan dan 24 lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 306.4 juta saham bernilai RM152.02 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, perang perdagangan AS.-China yang semakin memuncak telah menjejaskan sentimen pasaran dengan ekuiti global bertindak balas secara negatif terhadap perkara itu dalam tempoh semalaman.

“Memandangkan sentimen pasaran saham-saham Malaysia sudah terjejas dengan jualan asing berterusan sejak tahun lepas yang turut menyebabkan FBM KLCI mencatatkan prestasi lemah.

“Ketidaktentuan pasaran yang berterusan akan mendorong indeks utama untuk semakin merosot berikutan minat belian baharu kekal kurang memberangsangkan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan prospek pertumbuhan pendapatan yang perlahan,” katanya dalam nota hari ini.

Ia berkata kelemahan pasaran akan memberikan kesan lebih ketara ke atas saham barisan kedua dan pasaran saham secara menyeluruh kerana lebih banyak pemain runcit akan tidak memasuki pasaran.

Sehubungan itu, Malacca Securities berpendapat FBM KLCI masih dinilai dengan adil berikutan nisbah harga kepada pendapatan (PER) masih berada dalam julat sejarahnya, dengan itu terdapat sedikit ruang bagi pemulihan kukuh.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga turun 36 sen kepada RM11.38 dan Sime Darby Plantation susut 21 sen kepada RM4.70

MISC turun 30 sen kepada RM6.38 dan Maybank berkurangan enam sen kepada RM8.92.

RHB Bank menokok satu sen kepada RM5.73.

Bagi saham yang didagangkan secara aktif, Ekovest susut 3.5 sen kepada 80.5 sen, Bumi Armada turun setengah sen kepada 18.5 sen dan Daya Materials tidak berubah pada satu sen.

Indeks FBM Emas turun 208.95 mata kepada 11,065.59, Indeks FBMT 100 susut 199.27 mata kepada 10,916.28 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 283.02 mata kepada 11,126.08.

FBM 70 menyusut 310.93 mata kepada 13,551.94 dan FBM Ace turun 94.85 mata kepada 4,323.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 139.69 mata kepada 16,377.04, Indeks Perladangan berkurangan 158.11 mata kepada 6,856.30 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian susut 2.66 mata kepada 162.11.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next