EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini susulan penurunan di Wall Street dalam dagangan semalaman, melanjutkan jualan besar-besaran dalam pasaran saham global berikutan bimbang mengenai potensi impak daripada pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada 9.13 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) utama susut 4.83 mata kepada 1,597.04 selepas dibuka rendah 7.71 mata kepada 1,594.16.

Peniaga berkata, sentimen dalam masa terdekat akan terus menerima kesan daripada hubungan perdagangan AS-China yang membimbangkan, berdasarkan sekatan perdagangan ke atas sektor berkaitan teknologi.

“Secara keseluruhannya, kita terus menyaksikan indeks utama mencatat paras rendah dengan sentimen pasaran yang lemah dan jika paras sokongan 1,600 memberi laluan, FBM KLCI boleh mencapai paras 1,595 dan 1,590. Dalam pada itu, paras halangan, masing-masing kekal pada 1,610 dan 1,620,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM8.90, Public Bank merosot dua sen kepada RM22.48, dan Petronas Chemicals berkurangan satu sen kepada RM8.62.

TNB dan CIMB, masing-masing tidak berubah pada RM11.66 dan RM5.15.

Daripada saham yang diniagakan secara aktif, Impiana dan Vortex, masing-masing susut setengah sen kepada 3.5 sen dan 26.5 sen dan Sapura Energy turun satu sen kepada 29 sen.

KNM menambah satu sen kepada 20 sen dan Dayang naik tiga sen kepada 92 sen.

Indeks FBM Emas turun 36.2 mata kepada 11,173.53, Indeks FBMT 100 merosot 36.131 mata kepada 11,028.27 dan Indeks FBM Emas Syariah jatuh 43.28 mata kepada 11,289.

FBM 70 merosot 55.761 mata kepada 13,513.81 dan FBM Ace susut 2.98 mata kepada 4,285.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 38.9 mata kepada 16,514.42, Indeks Perladangan susut 53.81 mata kepada 6,783.61 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.6 mata kepada 160.82.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 237 berbanding 73, dengan 159 kaunter tidak berubah, 1,428 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 177.75 juta bernilai RM111.16 juta. – BERNAMA


Pengarang :