NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah ekoran sentimen berhati-hati

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Bursa Malaysia dibuka rendah dengan sentimen berhati-hati, menerima kesan daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meningkat.

Pada 9.02 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.29 mata kepada 1,629.26, daripada 1,633.55 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks dibuka rendah 3.94 mata kepada 1,629.61.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 77 berbanding 39, dengan 76 kaunter tidak berubah, 1,629 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 53.27 juta saham bernilai RM40.46 juta.

Sentimen pasaran dijangka terus menerima kesan daripada ancaman AS untuk menaikkan tarif ke atas barangan China pada akhir minggu ini.

“Keputusan oleh Presiden AS Donald Trump itu akan menyebabkan saham di Bursa Malaysia berada pada paras rendah lebih lama,” menurut Malacca Securities Sdn Bhd.

Walaupun terdapat ketidaktentuan yang berpanjangan, firma penyelidikan itu menjangka penangguhan dalam tempoh terdekat bagi saham tempatan berikutan tekanan jualan dijangka berkurangan, membolehkan saham di Bursa Malaysia stabil dalam jangka masa pendek.

“Kami turut berpendapat saham berharga rendah dan saham pasaran yang lebih luas akan stabil dalam masa terdekat, bagaimanapun belian baharu dijangka berkurangan dengan persekitaran pasaran yang pada amnya, kurang menggalakkan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga, masing-masing naik dua sen kepada RM8.99 dan RM12.04, manakala Public Bank dan Petronas Chemicals, masing-masing merosot enam sen kepada RM22.34 dan RM8.86.

Daripada saham yang aktif diniagakan, Lafarge susut satu sen kepada RM3.72, Lambo berkurangan setengah sen kepada 7.5 sen, Econpile tidak berubah pada 69 sen manakala Impiana Hotels naik setengah sen kepada 21 sen.

Indeks FBM Emas merosot 24.26 mata kepada 11,513.76, Indeks FBMT 100 turun 25.53 mata kepada 11,342.51 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 34.45 mata kepada 11,730.08.

FBM 70 turun 14.51 mata kepada 14,273.52 dan FBM Ace berkurangan 9.36 mata kepada 4,548.52.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 16.34 mata kepada 16,689.90, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.50 mata kepada 167.30 manakala Indeks Perladangan menambah 0.04 mata kepada 7,165.82.

-BERNAMA


Pengarang :