EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini berikutan kebimbangan mengenai perang perdagangan AS-Sino telah berkurangan susulan laporan bahawa Presiden AS Donald Trump akan mengurangkan sekatan terhadap Huawei Technologies Inc sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan yang lebih besar dengan Beijing.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) utama, naik 3.26 mata kepada 1,601.58 selepas dibuka tinggi 6.12 mata kepada 1,604.44.

Indeks ditutup rendah 3.55 mata pada Jumaat lepas kepada 1,598.32, bagaimanapun ia merupakan kemerosotan yang paling kecil berbanding bursa utama lain di seluruh dunia pada minggu lepas.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 123 berbanding 71, dengan 128 kaunter tidak berubah, 1,620 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 87.32 juta bernilai RM39.36 juta.

Peniaga berkata, perkembangan terkini mengenai perselisihan perdagangan antara AS dan China telah meredakan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.99, PBBank menambah lapan sen kepada RM22.60, Tenaga meningkat empat sen kepada RM11.58 dan CIMB naik dua sen kepada RM5.17.

Daripada saham yang diniagakan secara aktif, VC menambah 1.5 sen kepada 26.5 sen, LHI meningkat dua sen kepada RM1.06, manakala Sapnrg dan KNM, masing-masing tidak berubah pada 29 sen dan 20 sen.

Indeks FBM Emas naik 23.53 mata kepada 11,211.45, Indeks FBMT 100 meningkat 23.79 mata kepada 11,065.60 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 16.40 mata kepada 11,331.90

FBM 70 menokok 34.54 mata kepada 13,584.07 dan FBM Ace naik 6.93 mata kepada 4,295.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 41.79 mata kepada 16,576.34, Indeks Perladangan naik 13.93 mata kepada 6,831.02, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.71 mata kepada 161.30. – BERNAMA


Pengarang :