EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Bursa Malaysia meneruskan peningkatan semalam apabila dibuka lebih tinggi hari ini berikutan langkah institusi tempatan memberi sokongan menerusi minat belian membabitkan saham-saham berkaitan indeks.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.46 mata kepada 1,605.81 selepas dibuka naik 2.91 mata kepada 1,604.26.

Indeks penanda aras itu meningkat 3.03 mata kepada 1,601.35 sewaktu ditutup semalam.

Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 134 berbanding 79 manakala 141 kaunter tidak berubah, 1,588 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 75.11 juta bernilai RM23.58 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, walaupun indeks saham utama mencatat keuntungan pada Isnin, persekitaran pasaran secara keseluruhannya kekal tidak menentu dengan penyertaan pasaran kian lemah akibat pertikaian perdagangan yang berlanjutan dan menyebabkan sentimen berhati-hati terus ketara.

“Kami melihat FBM KLCI masih mencatat perkembangan dalam masa terdekat ini susulan sokongan dan peningkatan sederhana yang boleh menyebabkan indeks utama itu mencecah paras rintangan 1,605,” kata firma itu menerusi nota penyelidikannya.

Bagi saham berharga rendah dan pasaran secara meluas, firma penyelidikan itu berkata ia akan mengalami penurunan berikutan ramai pemain runcit mengambil pendirian berada di luar pasaran sehingga dapat melihat hala tuju pasaran yang lebih jelas.

“Bagaimanapun, aktiviti jual-beli dijangka berkurangan yang sebaliknya dilihat memberi peluang kepada kaunter saham berharga rendah itu untuk kembali membina asas selepas mengalami penurunan baru-baru ini,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan TNB untung lapan sen kepada RM11.44, Maxis naik lima sen kepada RM5.41, Public Bank menokok 10 sen kepada RM22.88 dan Axiata meraih empat sen kepada RM4.58.

Bagi saham aktif, KNM meningkat setengah sen kepada 19.5 sen, Econpile menokok dua sen kepada 62 sen manakala Vortex turun dua sen kepada 23 sen dan Scomi susut 1.5 sen kepada enam sen.

Indeks FBM Emas menokok 31.52 mata kepada 11,245.85, Indeks FBMT 100 meningkat 30.82 mata kepada 11,101.32 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 32.70 mata kepada 11,346.53

FBM 70 pula naik 37.19 mata kepada 13,653.61 dan FBM ACE menokok 0.96 mata kepada 4,259.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 25.52 mata kepada 16,629.33, Indeks Perladangan naik 5.40 mata kepada 6,877.37 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.55 mata kepada 160.14. – BERNAMA


Pengarang :