Bursa Malaysia dijangka rendah minggu depan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Bursa Malaysia dijangka rendah minggu depan

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan berikutan peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, serta kelemahan mata wang dan komoditi.

Naib Presiden Kanan (pelaburan) Asia Pasifik Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata iklim geopolitik semasa dikatakan menyebabkan para pelabur mengambil pendirian defensif.

“Pengelakan risiko yang berpunca daripada perang tarif AS-China akan memberi kesan negatif ke atas eksport tempatan dan pertumbuhan ekonomi. Langkah terbaharu AS untuk menyenaraihitamkan gergasi telekomunikasi China, Huawei, membayangkan tiada sebarang penyelesaian aman yang dapat dicapai antara dua gergas ekonomi dunia itu pada masa terdekat ini,” katanya kepada Bernama.


Bagaimanapun, beliau berkata terdapat pelbagai peluang eksport bagi Malaysia sebagai sebuah negara anggota ASEAN kerana negara-negara lain, terutamanya Vietnam, melihatnya sebagai peluang terbaik untuk melaksanakan perniagaan eksport.

“Tahun lepas menunjukkan pertumbuhan positif dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan Vietnam. Perdagangan dua hala mencecah hampir US$11.5 bilion (US$1=RM4.18) pada 2018,” kata Nazri Khan.

Vietnam mengeksport produk elektronik, terutamanya komputer dan telefon mudah alih, alat-alat ganti, kenderaan pengangkutan, serta produk kayu, manakala eksport Malaysia terdiri daripada petroleum, komponen elektronik, tekstil, kimia dan juga plastik.

Nazri Khan berkata berdasarkan kepada keadaan semasa, para pelabur dinasihatkan untuk tidak membeli saham yang terdedah kepada risiko asing.

“Bagi tujuan pengurusan risiko, adalah lebih baik untuk menumpukan kepada pasaran tempatan, sejajar dengan pertumbuhan positif dalam sektor automotif Malaysia,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, ekuiti tempatan bermula dengan lemah dalam keadaan peningkatan kebimbangan terhadap ancaman kepada hubungan dagangan global.

Nazri Khan berkata ekuiti global mencatatkan penurunan mendadak pada Khamis, menambahkan lagi kepada jualan global apabila sekatan terbaharu ke atas Huawei memburukkan lagi hubungan antara AS dan China.

“Di Asia, syarikat berkaitan telefon pintar merupakan antara yang terbesar hilang nilai,” katanya.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti Wesak dan pada Rabu sempena sambutan Nuzul Al-Quran.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, penanda aras FBM KLCI turun 7.04 mata kepada 1,598.32.

Indeks FBM Emas susut 112.13 mata kepada 11,187.92, Indeks FBMT 100 turun 94.99 mata kepada 11,041.81 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 135.84 mata kepada 11,315.5.

Indeks FBM Ace berkurangan 106.14 mata kepada 4,289 dan FBM 70 turun 305.79 mata kepada 13,549.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 28.31 mata kepada 16,534.56, Indeks Perladangan susut 78.41 mata kepada 6,817.09 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.81 mata kepada 162.01.

Jumlah dagangan mingguan jatuh kepada 6.07 bilion unit bernilai RM5.12 bilion daripada 11.80 bilion unit bernilai RM9.41 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 3.83 bilion saham bernilai RM4.67 bilion daripada 6.97 bilion saham bernilai RM8.65 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.06 bilion unit bernilai RM280.38 juta daripada 1.67 bilion unit bernilai RM427.70 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 1.16 bilion saham bernilai RM177.59 juta daripada 3.22 bilion saham bernilai RM326.88 juta.

-BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next