EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dijangka terus lemah minggu depan

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Bursa Malaysia dijangka terus lemah minggu depan terutamanya saham berkaitan perbankan berikutan tumpuan kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, FBM KLCI dijangka pada sekitar 1,624 dan 1,640 dengan paras sokongan dilihat pada 1,596 mata.

“Pasaran agak lemah berikutan dana asing telah menjadi penjual bersih buat masa ini.

“Harga minyak sawit mentah yang rendah, keputusan lemah daripada syarikat telekomunikasi dan kemungkinan pengurangan dalam OPR akan menyaksikan prospek FBM KLCI agak lemah buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, BNM akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 7 Mei ini.

“Kami menjangka bank pusat akan menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas untuk menggalakkan aktiviti ekonomi.

“Reserve Bank of Australia (RBA) akan turut mengumumkan keputusan mereka mengenai kadar dasar pada hari tersebut dengan konsensus pasaran menjangka RBA akan mengurangkan Cash Rate sebanyak 25 mata asas kepada 1.25 peratus,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya rendah tanpa pemangkin positif untuk menggalakkan minat belian manakala sentimen yang lemah turut diselubungi oleh pertumbuhan ekonomi global.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI ditutup 1.08 mata lebih rendah kepada 1,637.30.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti umum Hari Pekerja.

Indeks FBM Emas merosot 54.05 mata kepada 11,611.76, Indeks FBMT 100 susut 45.16 mata kepada 11,431.96 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 106.15 mata kepada 11,779.77.

Indeks FBM Ace turun 147.81 mata kepada 4,646.03 dan FBM 70 susut 209.34 mata kepada 14,521.39.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 51.47 mata kepada 16,932.93, Indeks Perladangan susut 96.60 mata kepada 7,201.87 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan jatuh 2.67 mata kepada 169.34.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 10.39 bilion unit bernilai RM7.94 bilion daripada 19.50 bilion unit bernilai RM13.10 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 7.51 bilion saham bernilai RM7.36 bilion daripada 15.56 bilion saham bernilai RM12.36 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.45 bilion unit bernilai RM347.61 juta daripada 1.87 bilion unit bernilai RM342.41 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 1.41 bilion saham bernilai RM232.15 juta daripada 2.06 bilion saham bernilai RM397.52 juta.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :