EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan lebih rendah pada Jumaat, seiring dengan prestasi beberapa bursa utama rantau ini berikutan kebimbangan mengenai prospek ekonomi global.

Sentimen tidak menentu dalam pasaran luaran itu turut dicetuskan oleh mesyuarat dagangan Amerika Syarikat (AS)-China selama dua hari dengan kesannya turut menular ke bursa tempatan.

Kaunter yang mencatat kerugian ketara termasuk produk pengguna dan berkaitan perkhidmatan — Nestle yang rugi RM1 kepada RM144.00 manakala F&N susut 48 sen kepada RM33.38.

Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI turun 8.26 mata untuk ditutup kepada 1,610.27 berbanding paras 1,618.53 sewaktu ditutup pada Khamis.

Penanda aras itu yang dibuka turun 2.62 mata kepada 1,615.91, turut bergerak dalam jajaran 1,610.27 dan 1,620.40 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Secara keseluruhannya, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 465 berbanding 335 manakala 404 kaunter tidak berubah, 706 tidak didagangkan dan 24 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.29 bilion saham bernilai RM1.84 bilion daripada 2.14 billion saham bernilai RM2.02 bilion yang dicatatkan semalam.

Seorang peniaga berkata kebimbangan mengenai perkembangan rundingan dagangan antara AS dan China turut mengheret turun harga niaga hadapan minyak sawit sebanyak satu peratus.

Berikutan itu, saham-saham perladangan seperti IOI Corp misalnya rugi 11 sen kepada RM4.24, Sime Darby Plantation susut empat sen kepada RM4.95 manakala Kuala Lumpur Kepong turun 14 sen kepada RM24.50.

Selain itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank tidak berubah pada RM8.97, Public Bank susut dua sen kepada RM22.26 manakala Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM8.89.

Bagi saham aktif, Bumi Armada rugi satu sen kepada 20 sen, Ekovest menokok setengah sen kepada 88 sen manakala warannya naik 1.5 sen kepada 39.5 sen.

Indeks FBM Emas pula turun 53.02 mata kepada 11,374.96, FBMT 100 susut 52.71 mata kepada 11,205.05 manakala FBM 70 kehilangan 46.95 mata kepada 14,079.05.

Selain itu, Indeks FBM Emas Shariah merosot 82.96 mata kepada 11,550.43 dan Indeks FBM Ace turun 12.11 mata kepada 4,532.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 33.72 mata kepada 16,566.18, Indeks Perladangan jatuh 57.47 mata kepada 7,050.28 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.41 mata kepada 166.68.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.48 bilion saham bernilai RM1.67 bilion daripada 1.33 bilion saham bernilai RM1.85 bilion, semalam.

Jumlah waran meningkat kepada 439.87 juta unit bernilai RM122.21 juta berbanding 399.71 juta unit bernilai RM114.40 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya berkurangan kepada 366.31 juta saham bernilai RM49.46 juta daripada 411.74 juta saham bernilai RM56.02 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 196.97 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (168.35 juta), pembinaan (319.07 juta), teknologi (77.78 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (46.80 juta), hartanah (141.59 juta), perladangan (23.26 juta), REIT (12.38 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (409.50 juta), penjagaan kesihatan (21.89 juta), telekomunikasi dan media (28.17 juta), pengangkutan dan logistik (13.76 juta) dan utiliti (16.71 juta).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :