EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan indeks utama ditutup pada paras tertinggi harian susulan aktiviti belian dan jualan secara menyeluruh walaupun wujud kebimbangan terhadap perang perdagangan AS-China yang semakin tegang, apabila AS melarang kemasukan barangan syarikat telekomunikasi utama China, Huawei.

Pada penutupan, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.17 mata kepada 1,605.36, disokong oleh keuntungan dalam kebanyakan saham wajaran tinggi, terutama kewangan, telekomunikasi dan peladangan.

Indeks dibuka 0.13 mata lebih tinggi kepada 1,599.32, paras terendah harian, dan bergerak setinggi 1,610.96.

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 407 berbanding 342 manakala 404 kaunter tidak berubah, 758 tidak diniagakan dan 36 lagi digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.91 bilion saham bernilai RM1.46 bilion berbanding 2.03 bilion saham bernilai RM1.71 bilion semalam.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, berdasarkan jumlah dagangan yang kecil, kebanyakan pelabur enggan memasuki pasaran dan ada sebahagian lagi meneruskan jualan untuk membuat keuntungan.

“Hari ini kita menyaksikan lantunan yang baik pada sebelah pagi, namun dagangan tidak menentu. Pasaran seperti yo-yo, turun mendadak dan naik semula dengan ketara.

“Dan situasi ini tidak memberikan keyakinan kepada pelabur untuk membeli saham, terutama selepas jualan singkat semalam, oleh dana asing,” katanya.

Secara menyeluruh, kebanyakan pasaran Asia rendah ekoran kebimbangan erhadap larangan import AS ke atas Huawei akan memburukan keadaan abtara dua kuasa ekonomi dunia itu.

Pada penutupan, Indeks Komposit Shanghai susut 2.5 peratus kepada 2,882.30, Hang Seng turun 1.16 peratus kepada 27,946.46 manakala Kospi Composite Index turun 0.58 peratus kepada 2,055.80.

Antara saham wajaran tinggi, Public Bank menokok 16 sen kepada RM22.42, Maxis menambah enam sen kepada RM5.36 manakala Dialog meningkat lapan sen kepada RM3.30.

Maybank dan Axiata masing-masing menokok empat sen kepada RM9.00 dan RM4.44.

Bagi saham aktif, Lambo, Ekovest dan Impiana masing-masing meningkat setengeh sen kepada tujuh sen, 83.5 sen dan 4.5 sen.

Indeks FBM Emas menambah 36.67 mata kepada 11,300.05, FBMT 100 menokok 39.68 mata kepada 11,136.80 dan FBM 70 menambah 36.62 mata kepada 13,855.32.

Indeks FBM Emas Shariah menokok 19.16 mata kepada 11,451.34, namun Indeks FBM Ace merosot 31.24 mata kepada 4,395.14.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 66.15 mata kepada 16,562.87, Indeks Perladangan menambah 22.84 mata kepada 6,895.50 manakala Indeks Perkhidmatan dan Produk Perusahaan susut 0.25 mata kepada 163.82.

Jumlah dagangan di pasaran Utama merosot kepada 1.09 bilion saham bernilai RM1.30 bilion berbanding 1.16 bilion saham bernilai RM1.54 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 384.05 juta unit bernilai RM113.00 juta berbanding 345.23 juta unit bernilai RM99.75 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 437.79 juta saham bernilai RM49.30 juta berbanding 521.16 juta saham bernilai RM73.67 juta sebelumnya.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 229.95 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (191.71 juta), pembinaan (164.58 juta), teknologi (79.06 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (31.41 juta), hartanah (89.00 juta), perladangan (17.18 juta), REIT (6.57 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (194.65 juta), penjagaan kesihatan (36.85 juta), telekomunikasi dan media (15.28 juta), pengangkutan dan logistik (18.61 juta) dan utiliti (11.93 juta). – BERNAMA


Pengarang :