NASIONAL

Bursa Malaysia ditutup tinggi dipacu minat belian baharu

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Bursa Malaysia ditutup 0.19 peratus lebih tinggi hari ini dipacu minat belian baharu oleh dana-dana institusi yang diterajui kuanter kewangan.

RHBBank naik lima sen kepada RM5.70, selepas mengumumkan keputusan suku pertama (Q1) yang positif, PBBank meningkat 26 sen kepada RM22.78, CIMB menokok tiga sen kepada RM5.18, HLBank naik enam sen kepada RM19.26.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 3.03 mata lebih tinggi pada 1,601.35 selepas dibuka 6.12 mata lebih baik pada 1,604.44.

Indeks bergerak antara 1,579.25 dan 1,604.44 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 481 berbanding 330 manakala 327 kaunter tidak berubah, 804 tidak diniagakan dan 24 lagi digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 1.6 bilion unit bernilai RM1.29 bilion daripada 1.89 bilion unit bernilai RM1.54 bilion pada Jumaat.

Ketua penyelidik Rakuten, Kenny Yee berkata dagangan kurang memberangsangkan berikutan tiada pemangkin ketara untuk menyokong pasaran di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Sentimen kekal berhati-hati, dan kami menyaksikan belian semasa harga rendah di kaunter-kaunter saham wajaran tinggi. Dana-dana institusi dilihat berada di paras sokongan 1,600,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, SimePLT naik 18 sen kepada RM4.71, Axiata, Digi dan MISC masing-masing menokok sembilan sen kepada RM4.54, RM4.69 dan RM6.61.

Bagi saham yang aktif didagangkan, Armada naik satu sen kepada 9.5 sen, VC tidak berubah pada 25 sen, Impiana turun setengah sen kepada tiga sen dan Ekovest susut lima sen kepada 72 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 26.41 mata kepada 11,214.33 dan FBMT 100 naik 28.69 mata kepada 11,070.50.

FBM 70 turun 66.89 mata kepada 13,616.42, Indeks FBM Emas Shariah susut 1.67 mata kepada 11,313.83 dan Indeks FBM Ace turun 30.7 mata kepada 4,258.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 69.24 mata kepada 16,603.80, Indeks Perladangan naik 54.88 mata kepada 6,871.97 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.32 mata kepada 160.69.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 1.03 bilion saham bernilai RM1.17 bilion daripada 1.15 bilion saham bernilai RM1.4 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran naik sedikit kepada 346.64 juta unit bernilai RM79.83 juta daripada 325.73 juta unit bernilai RM86.13 juta pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menguncup kepada 224.53 juta saham bernilai RM38.67 juta daripada 413.68 juta saham bernilai RM62.98 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 209.36 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (114.99 juta), pembinaan (127.09 juta), teknologi (58.32 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (26.84 juta), hartanah (124.64 juta), perladangan (12.05 juta), REIT (71.09 juta), dana tertutup (31,300), tenaga (278.5 juta), penjagaan kesihatan (24.06 juta), telekomunikasi dan media (10.38 juta), pengangkutan dan logistik (15.87 juta) dan utiliti (16.29 juta). – BERNAMA


Pengarang :