EKONOMI

Bursa Malaysia kekal tinggi

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Bursa Malaysia kekal tinggi setakat tengah hari ini yang terbukti tidak sealiran prestasi pasaran serantau dengan momentum belian tertumpu kepada saham terpilih didahului TNB, IHH dan Maybank.

TNB meningkat 70 sen kepada RM12.36, IHH menambah 13 sen kepada RM5.49 manakala Maybank untung sembilan sen kepada RM9.08.

Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.14 mata kepada 1,624.71 selepas dibuka 0.11 mata lebih tinggi kepada 1,614.68.

Ia menokok 13.22 mata kepada 1,614.57 sewaktu ditutup semalam.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 374 berbanding 317 manakala 312 lain tidak berubah, 949 tidak didagangkan dan 60 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.20 bilion unit bernilai RM811.34 juta.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura susut 0.27 peratus kepada 3,156.85, Nikkei Jepun berkurangan 1.15 peratus kepada 21,015.28 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 0.4 peratus kepada 27,280.74.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Digi menokok 10 sen kepada RM4.82, Petronas Gas naik 34 sen kepada RM16.68 manakala Hartalega untung 11 sen kepada RM5.17.

Bagi saham yang diniagakan aktif, Ekovest naik 5.5 sen kepada 78.5 sen manakala warannya menokok tujuh sen kepada 28 sen dan Bumi Armada, Sapura Energy serta Impiana masing-masing naik setengah sen kepada 20 sen, 30 sen and 3.5 sen sementara Lambo pula tidak berubah pada enam sen.

Indeks FBM Emas naik 53.45 mata kepada 11,378.47, Indeks FBMT 100 menambah 53.03 mata kepada 11,234.28, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 86.10 mata kepada 11,542.36 dan FBM Ace menokok 7.07 mata kepada 4,275.36.

FBM 70 sebaliknya berkurangan 4.45 mata kepada 13,827.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 28.48 mata kepada 16,668.63, Indeks Perladangan susut 6.32 mata kepada 6,854.88 manakala Indeks Perkhidmatan dan Produk Industri turun 0.77 mata kepada 159.32.

– BERNAMA


Pengarang :