GLOBAL

Cacar monyet: Indonesia keluar nasihat perjalanan

JAKARTA, 13 MEI: Indonesia menasihatkan rakyatnya di Singapura supaya bertenang dan memantau rapi perkembangan situasi berkaitan menerusi media serta laman sesawang Kementerian Kesihatan negara itu selepas pengesahan satu kes cacar monyet di Singapura, lapor agensi berita China Xinhua.

Pada 9 Mei, Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan kes pertama cacar monyet di negara itu.

Seorang rakyat Nigeria yang dipercayai memakan daging seekor haiwan liar telah dijangkiti virus cacar monyet, menurut Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Bagi rakyat yang telah atau akan ke negara-negara timur tengah dan Afrika Barat, kami menggesa mereka untuk mengelak sentuhan langsung dengan kulit atau bangkai haiwan yang telah dijangkiti, dan jangan makan daging haiwan liar seperti monyet, buaya, ular dan lain-lain,” kata kementerian itu.

Rakyat Nigeria berusia 38 tahun itu, yang tiba di Singapura pada 28 April, disahkan positif dijangkiti virus cacar monyet pada 8 Mei.

Penyakit cacar monyet disebabkan oleh virus yang ditularkan kepada manusia daripada haiwan. Penyakit ini akan menyebabkan demam, sakit otot, sakit belakang, ruam kulit dan bengkak nodus limfatik.

Dalam sesetengah kes, virus itu boleh mencetuskan komplikasi serius seperti pneumonia, sepsis, keradangan otak dan kehilangan penglihatan.

-BERNAMA

 


Pengarang :