Cadangan MBM perkenal subjek kenali agama lain ditolak | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Cadangan MBM perkenal subjek kenali agama lain ditolak

KLUANG, 19 MEI: Cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya diperkenalkan satu subjek khusus bagi mengenali agama lain, selain agama Islam di sekolah dan pusat pengajian tinggi (IPT) tidak dipersetujui oleh Kementarian Pendidikan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, bagaimanapun beliau konsisten dengan cadangan kementerian sebelum ini yang mahukan setiap sekolah dan universiti lebih kerap mengadakan program rentas budaya.

Katanya, berkongsi kebudayaan sesuatu kaum adalah lebih sesuai berbanding mempelajari agama lain, ini kerana dibimbangi akan menimbulkan lebih banyak kesan yang negatif berbanding yang positif


“Baru-baru ini sewaktu saya ke Pulau Pinang, saya telah lihat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ada kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan di negeri Johor kita ada Sekolah Islam Hidayah (SIH) yang aktif buat program bersama sekolah-sekolah vernakular lain.

“Jadi, kita galakkan sekolah berlainan aliran ini untuk buat program silang budaya ini dan biasanya silang budaya ini lebih kepada perayaan, pakaian dan kalau boleh kita hendak pergi lebih jauh daripada itu untuk saling memahami budaya masing-masing,” katanya, hari ini.

Beliau yang merupakan Anggota Parlimen Simpang Renggam berkata sedemikian semasa sidang media Penyerahan Plak Program Bantuan Rumah Harapan di Kampung Parit Haji Hashim, di sini.

Dr Maszlee turut menegaskan perkara yang paling penting ialah penghayatan setiap pelajar untuk berinteraksi antara satu sama yang lain menerusi pelbagai aktiviti kokurikulum bagi mengukuhkan perpaduan dan bukannya mempelajari setiap agama yang lain.

Semalam, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dilaporkan berkata, subjek pendidikan agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah baik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Katanya, cadangan berkenaan bukan bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, tetapi perpaduan akan dapat dipupuk apabila semua memahami sensitiviti penganut pelbagai agama di negara ini. – BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next