NASIONAL

Cadangan PTPTN atasi peminjam culas ambil kira pandangan umum

KLUANG, 18 MEI: Cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkaitan kaedah pembayaran balik serta sekatan kepada peminjam yang culas perlu mengambil kira pandangan masyarakat serta impak positifnya.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, cadangan itu baru di peringkat cadangan dan merupakan pandangan yang diambil melalui proses libat urus bersama pelbagai pihak.

“Sekarang ini, PTPTN sedang lakukan konsultasi awam untuk dapatkan maklum balas masyarakat mengenai isu yang timbul dan majoriti rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Bagaimanapun, saya telah minta PTPTN agar buat komunikasi yang baik bersama media, untuk memberikan gambaran sebenar agar orang ramai dapat maklumat yang tepat.

“Bagi orang muda di luar sana, In sya Allah, kita akan cuba membantu sebaik mungkin dalam usaha kita memberikan yang terbaik kepada golongan ini dan ini merupakan komitmen saya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Anggota Parlimen Simpang Renggam itu memberikan janji tersebut selepas melakukan penyerahan Bubur Lambuk Econsave di Pasar Raya Econsave Simpang Renggam.

Turut hadir, Pengurus Operasi Pasar Raya Econsave Wilayah Selatan Mas Imran Adam.

Keputusan PTPTN akan diumumkan pada Julai hadapan setelah mengambil kira konsultasi awam yang dijalankan ini, termasuk keputusan menyenaraihitamkan peminjam yang gagal membayar hutang dan pemberian diskaun terhadap peminjam.

Terdahulu, media melaporkan pihak PTPTN berkemungkinan akan memperkenalkan semula tindakan menyekat perjalanan ke luar negara bagi peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

Turut dipertimbangkan cadangan menyekat memperbaharui pasport, lesen memandu, cukai jalan dan lesen perniagaan. – BERNAMA


Pengarang :