SELANGOR

Caj RM1 cetak tiket jamin kelancaran operasi terminal bas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 MEI: Caj RM1 yang dikenakan terhadap pengguna bagi setiap cetakan tiket bas melalui pembelian dalam talian di Terminal Bas Seksyen 17 bertujuan memastikan pengurusan dan operasi terminal berjalan lancar serta sistematik.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, pihaknya menggunakan sistem pengurusan terminal (TMS) bagi mengawal keluar dan masuk bas di terminal berkenaan.

“Ini adalah sebahagian satu kawalan supaya kita tahu siapa yang menaiki bas dan berapa penumpang yang naik bas serta jika ada berlaku apa-apa kemalangan atau insiden di luar dugaan, kita tahu berapa penumpang yang naik di terminal ini.

“Kalau diikutkan sistem ini diguna pakai di semua terminal di Malaysia, tetapi Majlis Bandaraya Shah Alam adalah satu-satunya pihak berkuasa tempatan yang memberikan kemudahan itu sendiri.

“Di tempat lain misalnya Terminal Bersepadu Selatan, ia diuruskan syarikat dilantik kerajaan, tetapi di sini kita uruskan dengan mengguna pakai kos sendiri,” katanya pada program Kempen Pulang Ke Kampung Dengan Selamat dan Sumbangan Kuih Raya, di Terminal Bas Seksyen 17, di sini malam tadi.

Sebelum ini, kecoh apabila kebanyakan penumpang yang membeli tiket secara dalam talian ditahan di balai pelepasan terminal berkenaan ekoran terpaksa ke kaunter terlebih dahulu untuk mencetak pas dan perlu membayar RM1.

Malah, pemeriksaan sebanyak dua kali sebelum penumpang menaiki bas disifatkan tidak praktikal dan tindakan itu bagi sesetengah individu hanya melewatkan lagi perjalanan.

Mengulas sama ada caj dikutip itu bagi menampung kos keseluruhan penambahbaikan terminal berkenaan, Mohd Rashidi berkata, pihaknya perlu menanggung sejumlah RM87,000 setiap bulan selepas menolak hasil yang diterima daripada kos operasi terbabit.

“Kalau diikutkan daripada segi kos operasi terminal ini dan hasil diterima tidak juga dapat menampung, malahan kita memerlukan kos tambahan yang lebih. Kita rasa mampu dan berharap pengguna bersabar kerana kita mahu meningkatkan kemudahan yang ada.

“Operasi (terminal) ini adalah di tanah milik MBSA berbanding terminal lain yang mana tanahnya daripada pesuruhjaya tanah persekutuan tetapi operasi syarikat itu berbeza dengan keadaan kita di sini,” katanya.


Pengarang :