Cari jalan bantu rakyat Malaysia dihukum gantung di Singapura | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Cari jalan bantu rakyat Malaysia dihukum gantung di Singapura

KLUANG, 21 MEI: Kerajaan sedang berusaha mencari jalan untuk membantu seorang rakyat tempatan yang dijadualkan menjalani hukuman mati di Singapura Jumaat ini akibat kesalahan mengedar dadah.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen) Datuk Liew Vui Keong sedang berusaha mencari jalan untuk membantu Pannir Selvam Pranthaman yang dijadualkan menjalani hukuman itu dalam masa tiga hari lagi.

“Tadi saya telah berbincang dengan Liew dan beliau sedang berusaha bagi pihak Putrajaya (Malaysia) untuk cuba menyakinkan kerajaan Singapura jikalau rakyat kita ini boleh dielakkan daripada hukuman mati,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Infaq Perdana Ramadan anjuran Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Muafakat Kampung Tengah, di sini, sebentar tadi.


Beliau berkata demikian ketika mengulas permintaan keluarga Pannir hari ini yang memohon campur tangan kerajaan dalam menghentikan hukuman itu dengan alasan Pannir tidak diberikan peluang untuk mendapat pengampunan di bawah undang-undang republik itu.

Saifuddin berkata dalam kes-kes serupa sebelum ini, kerajaan juga telah mengamalkan pendekatan sama iaitu berusaha membantu mereka yang disabitkan kesalahan dengan memohon hukuman yang lebih ringan daripada Singapura.

Ini selaras dengan tindakan Malaysia meletakkan moratorium kepada hukuman mati mandatori.

“Biasanya memang Putrajaya berusaha untuk, kalau boleh (agar) mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh (mati) tetapi dikenakan hukuman yang lebih ringan, misalnya penjara seumur hidup,” katanya.

Ditanya pula bagaimana Putrajaya boleh mengatasi isu notis pelaksanaan hukuman yang didakwa diberikan dalam tempoh singkat, Saifuddin berkata tidak banyak yang boleh dilakukan kerajaan Malaysia.

“.. ini kerana ia merupakan cara bagaimana Singapura melaksanakan undang-undang mereka. Tidak banyak ruang untuk kita membuat aduan, tapi biasanya apa yang kita buat ialah kita cuba sebaik mungkin untuk membantu rakyat kita,” katanya.

Hari ini, keluarga Pannir melalui kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty menjadikan kerajaan Malaysia sebagai harapan terakhir mereka untuk menyelamatkan Pannir.

Ini ekoran mereka sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Pannir, termasuk menghantar rayuan terakhir kepada Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Pannir, 32, disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Singapura dengan kesalahan itu pada 27 Jun 2017.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next