SUKANKINI

Cub Prix: Yamaha akan bangkit di Tangkak

SHAH ALAM, 2 MEI: Juara keseluruhan CP150 2018, Ahmad Afif Amran yakin barisan pelumba Yamaha akan bangkit untuk menyekat penguasaan jentera Honda pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak, Johor pada esok dan Sabtu ini.

Perlumbaan pusingan pembukaan menyaksikan ketiga-tiga podium menjadi milik jentera Honda melalui Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing), Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) dan Md Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Yuzy Racing) sambil Afif (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) menamatkan saingan ditempat keempat.

Azroy sekali lagi menguasai perlumbaan kelas perdana apabila menjuarai perlumbaan pusingan kedua di Batu Kawan namun Afif kali ini menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua sambil Ahmad Fazrul Sham (AHM Motorsports Yamaha Racing) di kedudukan ketiga.

Afif berkata, Yamaha menunjukkan peningkatan sewaktu pusingan kedua namun masih sedikit ketinggalan berbanding jentera Honda terutama dari segi ‘top speed’.

“Kalau melihat kepada bentuk litar di Tangkak minggu ini, saya rasakan kekuatan antara jentera Yamaha dan Honda agak seimbang kerana laluannya berbukit dan agak teknikal.

“Saya perlu menggunakan kelebihan yang ada pada jentera Y15ZR ini untuk menguasai perlumbaan,” katanya yang muncul naib juara di belakang Kasma Daniel Kasmayudin di Tangkak pada musim lalu.

Mengulas tentang prestasi sepanjang dua pusingan lalu, pelumba berusia 24 tahun itu berkata, saingan masih pada awal musim maka masih banyak peningkatan yang boleh dilakukan.

“Saya tidak terlalu memikirkan tentang kemenangan sebaliknya mencari pendekatan untuk terus meningkatkan prestasi individu dan jentera dari satu pusingan ke pusingan perlumbaan yang lain,” katanya.


Pengarang :