NASIONAL

CUEPACS harap perubahan drastik bagi sektor perburuhan

PUTRAJAYA, 1 MEI: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat membawa satu perubahan drastik kepada sektor perburuhan terutamanya berkaitan gaji dan kos sara hidup pekerja, kata Presidennya, Datuk Azih Muda.

Beliau berkata, kerajaan sendiri sebagai majikan kepada pekerja sektor awam dapat mempertimbangkan usaha sama ada untuk menurunkan kos sara hidup atau menaikkan gaji pekerja.

Walaupun kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,050 kepada RM1,100, Azih berkata, peningkatan itu masih dianggap rendah berbanding dengan RM1,500 yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Peningkatan itu masih rendah jika dibanding dengan perbelanjaan isu rumah, logistik dan lain-lain, manakala di sektor kerajaan minimum ialah RM1,200.

“CUEPACS harap kerajaan dapat pertimbang gaji minimum di semua peringkat swasta dan kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja bertema ‘Pekerja Amanah, Aspirasi Negara,’ oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, hari ini.

Azih berkata, CUEPACS menyambut baik saranan Dr Mahathir mengenai hubungan tripartisme yang baik antara kerajaan, pekerja dan majikan menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Harapan CUEPACS supaya bukan hanya Hari Pekerja ini disambut untuk mengenang peristiwa berlaku kepada para pekerja tetapi juga disulami oleh kesan kos sara hidup yang amat dirasai oleh kumpulan pekerja khususnya B40 dan M40,” katanya.

Menurut Azih, CUEPACS mendapati golongan pekerja bawahan masih lagi berdepan situasi yang amat sukar dalam mengurus kehidupan mereka kerana kos sara hidup meningkat dan gaji yang tidak berubah.

“Dari segi produktiviti berbanding dengan Jerman, England dan Australia, kita (Malaysia) adalah terendah dari segi gaji walaupun produktivi kita meningkat. Gaji kita hanya 35 peratus kepada produktivi yang kita sumbangkan.

“Walaupun produktivi kita setara dengan negara-negara tersebut, kadar upah masih lagi dibayangi oleh pelbagai kekangan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :