NASIONAL

Dakwaan gangguan seksual: KEADILAN tidak teragak ambil tindakan displin

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak teragak-agak mengambil tindakan disiplin selaras dengan peraturan parti sekiranya siasatan polis mendapati berlaku pelanggaran undang-undang berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan Anggota Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.

Majlis Pimpinan Pusat parti itu dalam satu kenyataan berkata, KEADILAN memandang serius dakwaan berkenaan seperti yang dilapor media.

“KEADILAN mengambil maklum bahawa laporan polis telah dibuat oleh kedua-dua pihak berkenaan dakwaan ini. Kami turut mengambil maklum bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan proses siasatan terhadap dakwaan ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, KEADILAN turut menyokong penuh siasatan PDRM dan berharap proses tersebut dapat dilakukan dengan adil dan teliti.

Sebelum ini, dilaporkan seorang wanita mendakwa bekas pembantu dan bekas bendahari KEADILAN cabang Sungai Siput membuat laporan polis di Selangor berhubung gangguan seksual terhadapnya oleh Kesavan sejak akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, anggota Parlimen penggal pertama itu menafikan dakwaan tersebut dan membuat laporan polis terhadap wanita terbabit.

– BERNAMA

 


Pengarang :