BERITA UTAMASELANGOR

Dana Wakaf Ilmu UPM terima sumbangan RM1.25 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

SERDANG, 18 MEI: Dana Wakaf Ilmu Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima sumbangan RM1.25 juta melalui pelbagai agihan bagi dimanfaatkan institusi pengajian tinggi terbabit.

Dana itu disampaikan kepada Canselor UPM, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih Bersama DYMM Tuanku Canselor UPM di Dataran Masjid UPM di sini, semalam.

Turut berangkat sama adalah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Baginda diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris dan pegawai kerajaan lain.

Dana terbabit adalah sumbangan wakaf kakitangan UPM, hasil murabahah, tabung Masjid UPM dan wakaf.

Pada majlis sama, turut diadakan simbolik Pelancaran Wakaf Kebajikan Haiwan Hospital Veterinar berjumlah RM10,000, penyampaian sumbangan Projek Wakaf Surau Pusat Sukan UPM bernilai RM70,000 dan simbolik penyerahan perisian dan mesin pencetak braille bernilai RM40,000.

Selain itu, baginda turut menyerahkan sumbangan hari raya kepada 80 pelajar asnaf daripada Tabung Amanah Zakat UPM bernilai RM24,000.

Tabung Amanah Zakat UPM turut menyumbang RM1,000 setiap seorang kepada lima kakitangan UPM yang terbabit dalam bencana banjir.

Manakala Bantuan Khas Rahmatan Lil Alamin berjumlah RM9,500 daripada Wakaf Ilmu UPM pula disampaikan kepada 20 pelajar dan lima kakitangan UPM.


Pengarang :