SASTERA

Dari balik jendela

Oleh Adam Taufiq Suharto

Dari kawasan langit biru, kita kini melihat sebuah panggung lama ala-ala panggung Cathay. Orang ramai keluar masuk, orang ramai lalu-lalang. Dari luar, kita akan dapat melihat sebuah kereta berhenti tepat di hadapan panggung.  Dari luar cermin pula, kita dapat melihat susuk wanitabersanggul dari dalam, dia adalah Sabariah. Dia yang baru pulang dari kerja bergegas keluar dari Grab yang ditempahnya, tergesa-gesa membayarnya. Berlari. Dia kelihatan tergesa-gesa sekali lagi apabila sampai di kaunter.

Jari telunjuknya tunjuk tajuk sebuah filem, “Menantu Perempuanku”. Ketika mencari tempat duduk di skrin kaunter, tak banyak kosong, semua telah ditempah dan diduduki. Mujur ada satu, jodoh tak ke mana, bak kata orang. Selesai bayar dan diberi tiket, Sabariah kelihatan tak sabar, sekali lagi tergesa-gesa. Terus berpeluh. Peluh di dahi dilap.

Sabariah buka sebuah pintu, di tepi pintu terlihat nombor tiga sebesar-besarnya. Ruang gelita, yang membantu hanyalah cahaya dari ruang projektor. Orang agak ramai di dalam. Ada pasangan laki-laki dan perempuan berpelukan, memanas dingin. Ada beberapa orang berkopiah bersongkok, menafkah rohani. Ada beberapa orang kelihatan keseorangan, tanpa teman. Ada juga yang sedang asyik menghadam bertih jagung, menahan bosan.

Sabariah terus mencari tempat duduknya. Wayang telah bermula lama. Beberapa penonton mencebik Sabariah yang sedang sibuk-sibuk ingin masuk ke tempat duduknya. Ada juga yang maklum, kerana sedar kita bukanlah bangsa berlandaskan masa. Biasalah jika lewat.

Dia akhirnya dapat duduk. Dari dekat, wajah Sabariah tampak gemuruh, dia masih berpeluh-peluh. Tangannya membetulkan rambut yang bersanggul lantas kembali memandang layar.

Kita kini menghadap layar. Kita akan dapat melihat layar berwarna hitam putih sedang dimainkan dengan latar tahun 50-an.

Dalam layar itu juga, kita dapat melihat seorang lelaki muda sedang menghadap ke arah pintu. Dia adalah Kassim. Sementara dari arah bertentangan seorang perempuan tua sedang bermasam muka, memeluk tubuh, dia adalah si ibu.

Sabariah menggigit jari. Kita dapat melihat wajahnya ketakutan, seakan-akan saspens.

Kembali ke layar.

SI IBU: Siapa Si Sabariah itu? Keturunan apa? Loyar? Engineer?

Kassim pusing badan, kerut dahi dan memandang tepat mata ibunya.

KASSIM: Ibu… Apa dosaku? Dia masih perempuan!

SI IBU: Apa? Perempuan? Dia bukan perempuan! Dia itu cuma watak fiksyen! Pantang keturunan aku kahwin watak fiksyen.

Kassim hela nafas panjang, geleng kepala. Dia mengajak ibunya ke suatu sudut di rumahnya. Sebuah jendela berbentuk segi empat tepat atau lebih tepat dengan ukuran nisbah 16:9.

Kassim buka jendela itu dan tunjukkan pada ibunya. Dari arah dekat kita akan dapat melihat wajah Si Ibu terkejut, mata membulat, mulut ternganga, dia rebah penuh melodramatik.

SI IBU: (meratap) Allah Kassim… Ampunkan aku Kassim…

KASSIM: Lihat Ibu..lihat.. dunia adalah filem dan kitalah karakternya.

Perlahan-lahan kita akan dapat melihat apa yang ada di seberang jendela itu. Di seberang sana adalah penonton dalam panggung sinema termasuklah Sabariah.

Dari dalam panggung pula, penonton melihat Kassim menghadap lensa kamera sekali gus menghadap mereka semua. Kassim kemudian memeluk ibunya dan memapahnya ke bilik. Visual perlahan-lahan mengabur dan kredit akhir dimainkan.

Lampu panggung dibuka, orang ramai keluar sambil kedengaran rengekan sedikit demi sedikit menghilang. Ada yang mula menghakimi.

ORANG RAMAI 1: Apa punya filem. Berani dia nak nipiskan dinding realiti dengan fiksyen.

ORANG RAMAI 2: Betul, berani-berani nak ambil kerja Tuhan.

Sabariah tak menghiraukan cakap-cakap orang ramai. Dari dekat kita dapat melihat wajah Sabariah serba salah. Dia seka air mata yang menitis jatuh dan bersiap, mahu bangun.

Beg tangan jatuh ke lantai lalu terkeluarlah beberapa barang dari beg itu antaranya foto dia bersama Kassim dalam hitam putih. Dari dekat wajah Sabariah, dia terkejut, kaget, air mata bergenang. Susuk seorang lelaki muncul di hadapannya. Ini lebih mengejutkan kerana lelaki itu dalam keadaan hitam-putih mirip dalam filem klasik hitam-putih.

SABARIAH: Kassim?

KASSIM: (senyum) Mari Sabariah. Kita pulang ke rumah.  Ibu dah aku ‘basuh’ cukup-cukup.

Sabariah peluk Kassim. Bayangkan lagu “Jangan Tinggal Daku” oleh P. Ramlee dimainkan. Lampu dari ruang projektor muncul dan kelihatan siluet lelaki dan perempuan berpelukan dalam layar membentuk susuk Sabariah dan Kassim. Perlahan-lahan muncul teks: TAMAT. Pandangan jadi gelap lalu cerita pun berakhir.


Pengarang :