NASIONAL

Desa Harapan kedua akan dilancar di Baling Jun ini – KPLB

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Program Desa Harapan iaitu satu daripada inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mengeluarkan masyarakat luar bandar dari kepompong kemiskinan akan dilancarkan di Baling, Kedah, bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pelancaran itu adalah yang kedua selepas Kampung Kinjang di Chenderiang, Perak, kedua-duanya adalah antara 28 daerah miskin di negara ini.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu berkata, Program Desa Harapan adalah sebahagian daripada inisiatif Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dilancarkan kementerian itu tahun lalu bagi pembangunan jangka pendek ke arah luar bandar lebih sejahtera.

“Melalui Program Desa Harapan ini, fokus kita adalah untuk merapatkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin, begitu juga penduduk di bandar dan luar bandar, ” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Kampung Baru, di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Lembaga Pentadbiran Malay Agriculture Settlement Kampung Baru, Shamsuri Suradi dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin.

Mengulas lanjut, Rina berkata, menerusi inisiatif itu, penduduk luar bandar akan diberikan bimbingan, kemahiran dan tunjuk ajar melalui program yang bersesuaian supaya mereka dapat menjana pendapatan menerusi kemahiran yang dimiliki kelak.

Terdahulu, Rina turut melawat beberapa gerai daripada 400 gerai jualan di bazar berkenaan yang menggunakan kaedah pembelian tanpa tunai dikenali sebagai sistem e-wallet oleh Touch & Go Digital Sdn Bhd.

Katanya, kaedah belian tanpa tunai dijangka akan diperluaskan ke seluruh negara termasuk kawasan luar bandar mulai tahun depan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :