KUALA LUMPUR, 21 Mei — Peniaga Rashid Ali, 49, meninjau gerainya di Bazar Masjid India yang hangus terbakar pada awal pagi tadi. Kebakaran yang berlaku kira-kira 1.35 pagi tadi telah menghanguskan 30 unit gerai yang antaranya menjual pelbagai barang seperti pakaian, tudung, beg dan kasut dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 2.04 pagi. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Detik sedih 30 premis peniaga terlibat kebakaran di Bazar Masjid India

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Jualan kami semalam paling memberangsangkan, dah lama tak dapat jualan macam tu… tapi tak sangka menjelang pagi ini semuanya musnah dijilat api,” luah seorang peniaga di Bazar Masjid India.

Linda Razali, 35, adalah antara peniaga di bazar di hadapan Wisma Yakin yang setiap tahun menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah kelengkapan Syawal pada bulan Ramadan.

Awal hari ini, 30 gerai di Bazar Masjid India yang menjual pelbagai barang seperti pakaian, tudung, beg dan kasut terbakar pada pukul 1.35 pagi.

Linda, yang berniaga tudung, berkata ketika kejadian beliau telah berada di rumahnya di Cheras Indah dan mengetahui kejadian itu melalui kawannya yang berada di kawasan bazar itu.

“Kawan saya telefon bagi tahu kedai saya terbakar… terus saya rasa nak pitam dan lemah semangat. Saya menangis memikirkan nasib sempena bulan Ramadan ini dan nak sambut raya,” katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian.

Linda, yang mempunyai dua anak, berkata beliau baru sahaja menambah bekalan jualan sempena bulan puasa ini dan kebakaran itu sudah pasti menjejaskan punca rezekinya.

Beliau bagaimanapun reda dengan keadaan yang menimpa dan berharap pihak tertentu dapat membantu nasib peniaga yang terjejas dalam kebakaran itu.

Seorang lagi peniaga, Ahmad Daud Rafieei, 52, berkata, beliau terpaksa menanggung kerugian apabila kasut dan pakaian yang dijual di gerainya hangus dijilat api.

“Saya tak sangka hasil titik peluh bersama isteri dijilat api… anggaran dekat RM100,000 kerugian terpaksa saya tanggung. Itu stok jualan serta stok untuk bulan puasa ini yang dikongsi bersama isteri.

“Punca pendapatan saya terjejas dalam masa terdekat ini, rugi itu sudah tentu dan kami rungsing di mana tempat sementara kami untuk berniaga… strategik atau tidak saya tak tahu tapi lebih baik ada tempat sementara daripada tak boleh berniaga langsung,” katanya.

Seorang saksi kejadian, Syed Yusof Abdul, 60, berkata ini adalah kali ketiga bazar yang telah beroperasi selama 16 tahun itu terbakar, selepas kebakaran kecil April tahun lepas.

“Jiran niaga saya adalah orang pertama yang bagi tahu ada kedai terbakar, masa tu saya nak bersahur. Ada antara kami cuba memadamkan api tapi alat pemadam kebakaran tak dapat berfungsi dah ‘jammed’.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku sebab ia pernah berlaku kepada saya dulu… ditimpa musibah seperti ini sukar mereka nak mulakan balik… harapan saya agar ada jalan penyelesaian dapat dilakukan bagaimana nak bantu peniaga yang terlibat,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati sebahagian bumbung Bazar berkenaan turut terbakar manakala barang di premis terjejas kebanyakannya tidak dapat diselamatkan. -BERNAMA


Pengarang :