Selangorkini
EKONOMI

Di sebalik isu minyak sawit, hubungan EU-Malaysia kekal kukuh

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Kesatuan Eropah (EU) optimis hubungan dengan Malaysia kekal kukuh meskipun ketika perbalahan mengenai isu minyak sawit melanda.

Duta EU dan Ketua Delegasi ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez berkata, ketika tiada larangan minyak sawit memasuki EU, kesatuan itu terbuka untuk mengadakan dialog dengan Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian.

“Hubungan kita tidak tertakhluk dalam sektor minyak sawit semata-mata dan kita tidak boleh biarkan hubungan terjalin sekian lama terjejas. Jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang perlu dicari dan kami terbuka untuk berdialog,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama semasa sambutan Hari Eropah di sini.

Hari Eropah disambut setiap tahun pada 9 Mei oleh 28 negara anggota sempena Deklarasi Schuman – ditandatangani pada 9 Mei 1950 – tertubuhnya EU.

Pertikaian berhubung syor yang dicadangkan EU untuk mengehadkan minyak sawit dalam biobahan api bermula 2021 dan larangan sepenuhnya menjelang 2031 telah berlarutan sejak sekian lama antara kedua-dua pihak.

Blok terdiri 28 anggota mengatakan penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di Eropah menyebabkan penebangan hutan yang menyumbang kepada perubahan iklim.

Bagaimanapun, Malaysia menyangkal tuduhan itu, menyifatkan ia mengelirukan dan boleh menjejaskan industri itu, terutamanya kepada kira-kira 650,000 pekebun kecil kelapa sawit di negara ini.

Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia.

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan pada 2018 negara mengeksport sejumlah 1.91 juta tan minyak sawit ke E, turun empat peratus daripada 1.99 juta tan pada 2017.

EU adalah pengimport minyak sawit Malaysia kedua terbesar selepas India, membeli 12 peratus daripada jumlah pengeluaran yang dihasilkan pada 2018.

Fernandez berkata, wakil EU di Malaysia akan terus terlibat dengan pihak berkuasa berkaitan, pekebun kecil dan komuniti tempatan, selain melawat ladang untuk mendapatkan maklumat secara langsung berhubung isu itu.

Dalam perkembangan lain, Fernandez berkata EU akan terus menyokong demokrasi di Malaysia, usaha berterusan dalam agenda pembaharuan institusi antara lain memperbaiki kedudukan hak asasi manusia.

Selain dalam sektor politik, perdagangan dan ekonomi, kerjasama EU dengan Malaysia merangkumi pelbagai bidang seperti pendidikan, budaya, alam sekitar dan pembangunan mampan.

“Kita rakan kongsi yang rapat dan perlu bekerja untuk hubungan yang ada serta mengatasi apa jua cabaran termasuk isu minyak sawit.

“Banyak yang telah kita lakukan bersama dan masih ada lagi perkara yang boleh diusahakan,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :