SELANGOR

Diasak seperti regimental, Mohd Rasyid rangkul Anugerah Pelatih Kepimpinan Terbaik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 3 MEI: 30 hari berada di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES), diasak dengan regimental dan disiplin ketenteraan yang ketat tidak mematahkan semangat Mohd Rasyid Ibrahim untuk terus berjuang sehingga dinobatkan selaku penerima Anugerah Pelatih Kepimpinan Terbaik.

Anggota Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berusia 43 tahun itu diumumkan menerima anugerah berkenaan dalam Majlis Penutup Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Penguat kuasa Negeri Selangor Siri 1/2019, di PULAPES Jugra, di sini hari ini.

Beliau yang ditemui sejurus menerima penganugerahan itu melahirkan rasa gembira dan bersyukur walaupun pada awalnya seperti tidak percaya dengan pencapaian berkenaan kerana perlu bersaing dengan 49 peserta lain yang memiliki kebolehan tersendiri.

Katanya, kerjasama dan sokongan moral ahli pasukan sepanjang tempoh latihan nyata berbaloi.

“Alhamdulillah kerana dikurniakan anugerah yang bagi saya susah untuk terima kenyataan ini, tetapi saya yakin ianya adalah ketentuan daripda Ilahi dan tidak dilupakan jurulatih yang banyak mengajar tidak kira siang mahupun malam.

“Jurulatih tidak pernah jemu mendidik dan mengajar kami satu pasukan untuk jadi manusia. Mereka (jurulatih) sangat menitikberatkan aspek disiplin.

“Saya hargai segala didikan yang dicurahkan dan sudah tentu akan terus berjuang untuk dibawa ke pihak berkuasa tempatan,” katanya sambil menahan sebak.

Mengakui disiplin diri masih belum persisten, anak jati kelahiran Selayang itu berkata, dia terkejut dengan budaya ketenteraan diterapkan di PULAPES yang sememangnya memberi keutamaan terhadap aspek disiplin.

Berkongsi pengalaman yang boleh dianggap manis dan pahit itu katanya, dia juga hampir berputus asa dan patah semangat sepanjang proses latihan berkenaan dijalankan.

Bagaimanapun, dengan keazaman dan kecekalan, dia nekad meneruskan perjuangan itu demi merealisasikan impian sejak kecil.

“Selama sebulan di sini, kami melalui satu fasa yang mana kami semua terkejut kerana disiplin diguna pakai jurulatih adalah ke arah ketenteraan dan bagi kami ia amat mencabar.

“Kebanyakannya ada yang sudah patah semangat, namun kami beramai-ramai bersatu hati memberi sokongan antara satu sama lain dan menaikkan semangat kawan-kawan untuk teruskan dalam kursus ini,” katanya.

Selain Rasyid, Pelatih Keseluruhan Terbaik dinobatkan kepada Zamri Daswir Danur daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pelatih Aktiviti Luar Terbaik kepada Aina Nasiha Husin (Majlis Perbandaran Klang)

Sementara itu, Pelatih Kawad Terbaik diberi kepada Muhammad Arif Othman (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan Pelatih Penembak Terbaik kepada Saiful Aqmal Din (Majlis Perbandaran Ampang Jaya).

Majlis tamat latihan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 100 ahli keluarga yang datang bagi menyaksikan acara bersejarah bagi mereka.

 


Pengarang :