BERITA UTAMASELANGOR

Dr Dzulkefly: Jadikan Ramadan titik permulaan berhenti rokok

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEPANG, 4 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menganjurkan kempen Sambutan Nafas Baru Bermula Ramadan sebagai langkah menggalakkan umat Islam berhenti merokok.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu boleh dijadikan sebagai titik permulaan untuk membuang tabiat tidak sihat, pada bulan yang mulia.

“Bulan Ramadan bulan penyah-toksik. Kita nyahkan seluruhnya bukan sahaja daripada segi sistem biologikal dan fisiologikal, tetapi termasuk konteks moral serta spritualnya juga.

“Sebulan genap Allah izinkan kita melalui madrasah tarbiyyah ini, jadi diharap kita ambil peluang untuk jadikan Ramadan bulan bebas rokok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) di Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini.

Karnival terbabit turut meraikan sambutan Hari Tanpa Tembakau yang disambut pada 31 Mei setiap tahun di seluruh dunia.

Dr Dzulkefly berkata, sambutan itu adalah simbolik amaran kepada seluruh masyarakat dunia berhubung bahaya merokok dan asap rokok.

“Pada tahun ini, fokus sambutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah berkenaan ‘Tembakau dan Kesihatan Paru-Paru’.

“Diharapkan dengan fokus itu, ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kemudaratan asap rokok kepada paru-paru,” katanya.


Pengarang :