oznor
NASIONAL

Dr Zakir Naik tokoh besar tonjol ajaran Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MEI: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik disifatkan sebagai tokoh besar sangat dikenali dalam mempersembahkan kesucian ajaran Islam kepada mereka yang bukan beragama Islam, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Walaupun terpalit dengan dakwaan sebagai seorang pengganas di negara kelahirannya namun beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya mendengar tuduhan dilemparkan terhadap penceramah itu sewenang-wenangnya kerana tiada maklumat betul dan sahih, bahkan tidak tepat.

Bercakap ketika ditemui pada program Iftar Ramadan dan Ceramah Khas, katanya, kepakaran penceramah tersohor dari India itu mempersembahkan Islam bukan sahaja daripada segi praktiknya kita beramal, malahan dalam komunikasi.

“Kita berbangga kerana dapat menghadirkan tokoh besar iaitu tokoh antarabangsa dan kita merasakan ketokohan beliau dalam mengupas Islam sangat mudah serta jelas, itu menyebabkannya tokoh antarabangsa yang sangat dikenali.

“Apabila dia (Dr Zakir) menerangkan topik sangat jelas, kita rasa bahawa tidak ada sebab untuk orang curiga dan menerima dakwaan bahawa beliau memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Dr Zakir mengupas isu ‘Offering Peace And Justice In Islam To The World – Challenging The Islamophobia Narratives’ yang antara lain membincangkan berkaitan tuntutan keamanan dan keadilan dalam masyarakat Islam di dunia selain cabaran prasangka serta diskriminasi pada Muslim.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, beberapa perkara disentuh Dr Zakir sangat menarik, seterusnya memberi peranan kepada pendengar bahawa mereka juga bertanggungjawab untuk menjelaskan Islam kepada sesiapa sahaja dengan tidak merasakan hubungan akan terjejas.

“Jadi, kita harus pandai menggunakan cara dan teknik dengan baik. Tajuknya juga sangat sesuai Ramadan dan kita dapat mendengar sendiri penjelasan beliau terhadap beberapa isu ditanyakan.

“Kami bercadang untuk mengadakan lagi program sebegini bersama beliau sebagai tetamu dan mahu mengajak semua masyarakat Islam dan bukan Islam untuk datang serta berinteraksi dengannya daripada mendengar tuduhan tidak sahih,” katanya.

Dianggarkan kira-kira 300 peserta hadir dalam majlis berlangsung di Carlton Holiday Hotel & Suites, di sini, malam ini.

Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah daripada kumpulan INTEAM dan bacaan ayat suci al-Quran.

 


Pengarang :