NASIONAL

Dua lelaki dikhuatiri hilang selepas pergi ke kapal tersadaai

JOHOR BAHRU, 24 Mei: Dua lelaki dikhuatiri hilang sejak semalam selepas pergi ke sebuah kapal yang tersadai di perairan Pulau Pisang dekat Pontian.

Ketua Balai Bomba Pontian, Penolong Penguasa Bomba, Azhar Abd Jalil berkata, Mohd Khair Ismail, 38 dan Mohd Yusni bin Mohd Yusof, 43, dikatakan menaiki sebuah bot untuk pergi ke kapal dengan muatan air minuman yang tersadai sejak awal bulan ini.

“Bomba menerima panggilan pada jam 5.36 petang tadi. Mangsa dimaklumkan telah menaiki bot pergi ke kapal yang tersadai itu semalam dan sehingga kini belum pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata keluarga mangsa telah membuat laporan polis dan polis meminta bantuan pihak bomba bagi mencari dan menyelamat mangsa.

Beliau berkata operasi menyelamat bagaimanapun dihentikan seketika disebabkan air terlalu surut dan akan dimulakan pada jam 10 pagi esok ketika waktu air pasang. -BERNAMA


Pengarang :