Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
NASIONAL

Dua lelaki ditahan bantu siasatan kemalangan korban tiga warga Myanmar

 

BAGAN SERAI, 20 Mei: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes kemalangan sebuah kereta pelbagai guna (SUV) yang mengorbankan tiga warga Myanmar di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Bukit Merah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lelaki warga tempatan M. Vasudavan, 56, yang juga pemilik kenderaan itu ditahan di rumahnya di Taman Pelangi, Kampar, pada jam 4.30 petang semalam.

Katanya, seorang lagi lelaki warga Myanmar, Law Kee Thang, berusia 20-an, ditahan di rumahnya di Kampung Baru Sungai Siput Selatan, Kuala Dipang, dekat Kampar, pada jam 5.45 petang semalam.

Beliau berkata kedua-dua mereka ditahan reman mulai hari ini hingga 17 Jun depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 26(A) Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 yang boleh dihukan penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-Langkah Khas) 2012,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata siasatan polis mendapati Vasudavan merupakan pemilik kereta Nissan Xtrail telah menyerahkan kereta tersebut kepada seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Ah Hong.

“Ah Hong telah memberikan wang sebanyak RM300 sebagai duit belanja kepada Vasudavan untuk mengambil kereta tersebut setelah menggunakan nama Vasudavan untuk mendaftar kereta itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, semalam, tiga warga Myanmar maut, tujuh cedera parah dan empat cedera ringan.

Mengulas lanjut, katanya, siasatan awal mendapati Kee Thang merupakan orang perantara di antara Vasudavan dan Ah Hong dan dia pernah bekerja dengan Ah Hong.

“Kee Thang menggunakan nama Vasudavan untuk membeli kereta Nissan Xtrail kerana warga Myanmar tidak boleh membeli kereta menggunakan nama mereka,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata empat lelaki warga Myanmar yang ditahan semalam mendakwa mereka tinggal di sempadan Thailand selama dua malam dan menaiki sebuah kereta dalam keadaan berhimpit-himpit.

“Apabila sampai di satu tempat mereka dipindahkan ke kereta Nissan Xtrail dalam perjalanan ke destinasi yang mereka tidak ketahui,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan Ah Hong dan seorang lagi warga Myanmar melarikan diri apabila kereta itu terbabit dalam kemalangan.

“Kita sedang memburu pemandu dan penumpang hadapan kereta itu,” katanya dan menambah polis sedang menjalankan siasatan lanjut kemungkinan sindiket terbabit menyeludup masuk warga Myanmar berkenaan. -BERNAMA


Pengarang :