SELANGOR

DUN Kota Anggerik sumbang lebih RM70,000 kepada rumah ibadat

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 7 MEI: Lebih RM70,000 sumbangan diserahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, bagi mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Negerinya, Najwan Halimi, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Anggerik, pada 5 Mei lalu.

Najwan berkata, setiap sumbangan yang diluluskan kepada semua masjid dan surau terbabit berpandukan pelbagai aspek serta kriteria.

“Program terbabit perlu memberi impak kepada masyarakat dan berpotensi untuk diperluaskan pada masa hadapan.

“Saya komited untuk memberdayakan masyarakat melalui pelbagai program dan pendekatan yang lebih segar serta dinamik,” katanya menerusi coretan di Twitter.

Pada masa sama, beliau meminta umat Islam supaya mengambil peluang memanfaatkan Ramadan supaya menjadi seorang Muslim yang lebih baik, pada tahun ini.

“Saya mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunan buat kita semua,” tulisnya.


Pengarang :