SELANGOR

DUN Permatang edar lebih 6,000 bubur lambuk

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 MEI : Lebih 6,000 pek bubur lambuk berjaya dimasak dan diedarkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, ia bersempena program Memasak Bubur Lambuk Mega anjuran DUN belia dengan kerjasama 13 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Permatang dan beberapa sukarelawan.

“Ia julung kali dianjurkan di DUN Permatang. Kepelbagaian resepi Bubur Lambuk dari 13 MPKK DUN Permatang menjadikan ia lebih menarik.

“Selain itu, setiap sukarelawan yang hadir dari pelbagai institusi ini dapat bertukar-tukar idea dan tips dalam suasana yang cukup meriah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, sukarelawan terlibat hadir dari pelbagai institusi antaranya penglibatan siswa UNISEL Kampus Bestari Jaya dan peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

“Program ini bagus dilaksanakan kerana ia sebagai salah satu medium untuk mendekatkan anak muda dengan komuniti,” katanya.

Terdahulu, seramai 200 orang bergotong-royong hampir tiga jam bagi menyiapkan bubur lambuk untuk diedarkan di setiap kampung di DUN Permatang.

Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Selangor, Ahmad Satim yang turut memuji program sedemikian bagus dilaksanakan kerana selain mengangkat tradisi kampung ke peringkat yang lebih tinggi, secara tidak langsung dapat menghidupkan semula semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.


Pengarang :