BERITA UTAMA SELANGOR

DYMM Sultan Selangor berkenan serah sumbangan Aidilfitri RM209,000

OLEH NORHAYATI UMOR

CYBERJAYA, 22 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Aidilfitri berjumlah RM209,000 kepada 418 asnaf fakir, miskin dan mualaf, di daerah ini.

Sumbangan terbabit disampaikan pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Sambutan Nuzul Al-Quran di Masjid Raja Fi Sabilillah, di sini.

Menerusi jumlah itu, sebanyak RM91,000 diserahkan kepada 182 asnaf miskin, manakala RM54,500 pula diagihkan kepada asnaf fakir.

Selain itu, sebanyak RM63,500 diagihkan kepada 127 penerima mualaf.

Turut mengiringi baginda, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Kerabat diraja itu turut memakai pakaian berkabung iaitu berbaju melayu, bersampin putih dan bersongkok berlilit jalur putih susulan kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pagi tadi.

Hadir mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan isteri, Masdiana Muhamad.

 


Pengarang :