SELANGOR

E-dagang: Pengusaha perlu sedia terima pesanan banyak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 MEI: Pengusaha barangan melalui landasan digital (E-dagang) perlu memberi perhatian terhadap aspek kesediaan menerima jumlah pesanan yang banyak selain kemampuan menepati masa dan kehendak pelanggan masing-masing.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, sebagai persediaan awal, peniaga seharusnya mewujudkan lebih banyak jaringan bersama rakan perniagaan lain, khususnya mereka yang memiliki kepakaran dan kemahiran dalam mengusahakan produk tertentu.

Katanya, walaupun usahawan terbabit tidak pernah menjangkakan perniagaan dalam talian mampu melebihi pasaran biasa, namun mereka disaran supaya tidak mengikut kapasiti peribadi sahaja.

“Kadang-kadang kemampuan usahawan adalah terhad, maka mereka tiada inisiatif untuk mengembangkan perniagaan dan mengambil lebih ramai pekerja. Jadi, mereka tidak dapat menjaga kualiti dan masa yang berpatutan.

“Kita mahu lihat usahawan yang bermula daripada hobi, hanya sekadar mencuba tetapi sebenarnya ia adalah perniagaan serius yang mampu memberi pulangan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran ‘Raya Bersama PKNS di Shopee’ di Dewan Aster Tingkat 4, Blok A Ibu Pejabat PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar dan Pengurus Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li.

Pada masa sama, Rodziah yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berkata, usahawan juga perlu mempertingkatkan perkhidmatan perniagaan mereka daripada aspek kualiti gambar yang dimuat naik di platform digital bagi menarik minat pelanggan.

“Mereka perlu ada inisiatif untuk bergabung bersama usahawan lain bukan sahaja dalam bidang pembuatan, malahan kemahiran logistik seperti penghantaran untuk memastikan produk itu sampai lebih cepat.

“Sekarang mereka tertumpu dalam lingkungan sedikit, namun saya yakin untuk mendapatkan kuantiti yang banyak perlu ada lebih ramai pemain dan usahawan boleh menawarkan peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.

Terdahulu, kempen ‘Raya Bersama PKNS di Shoppe’ yang berlangsung mulai 30 April hingga 30 Mei ini disertai seramai 30 usahawan dengan hampir 1,000 jenis produk berkaitan Aidilfitri ditawarkan antaranya pakaian, kuih dan biskut raya serta produk kecantikan.

Kempen itu adalah inisiatif PKNS melalui program keusahawanannya bagi memperkasa usahawan berdaftar di program PKNS Bizclub.

 


Pengarang :