NASIONAL

ECRL dijangka sumbang 2.7 peratus pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menelan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion dijangka menyumbang sebanyak 2.7 peratus kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, demikian menurut MIDF Research.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, MIDF Research berkata, rangsangan pertumbuhan itu dijangka diterima seawal projek itu dimulakan sehinggalah ia selesai.

“Bagaimanapun, unjuran penuh sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan bergantung kepada kadar kesan limpahan ke atas sektor ekonomi lain. Selain itu, pembayaran pampasan terhadap pekerja dan lebihan operasi bersih juga dijangka meningkat masing-masing sebanyak 3.6 dan 2.1 peratus.

“Memandangkan projek itu memerlukan kelengkapan jentera dan pengangkutan, unjuran kami menunjukkan import komoditi dan penggunaan modal tetap akan meningkat masing-masing sebanyak 3.3 peratus dan 2.1 peratus,” katanya.

Mengulas selanjutnya, MIDF Research berkata bagi kemajuan masa depan, projek rel itu akan memberi kesan dari segi pengembangan ekonomi secara langsung dan tidak langsung dalam tempoh jangka panjang.

Ini termasuk pembentukan peluang pekerjaan, membuka kawasan baharu, pelaburan langsung asing, meningkatkan aktiviti dagangan luaran serta memperkukuh permintaan domestik.

Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan projek tersebut akan menjadi pemangkin industri dan pengeksport di Malaysia berikutan 70 peratus pengangkutannya adalah bagi tujuan penghantaran.

“Ini turut memberi kelebihan kepada Malaysia yang merangkumi perdagangan antarabangsa berikutan lokasi strategik projek itu untuk ke China serta negara-negara ASEAN lainnya.

“Malah, peningkatan aspek pengangkutan dan kesalinghubungan itu akan turut membantu Malaysia dari segi peruntukan sumber yang lebih baik, meningkatkan produktiviti, mobiliti serta pembangunan sosioekonomi dengan sebahagian daripadanya dapat memudahkan inisiatif Jajaran dan Laluan China.”

Menurut MIDF Research, projek ECRL itu juga akan menjana lebih banyak aktiviti ekonomi sektor lain, sekali gus membolehkan peralihan kepada ekonomi yang kurang bergantung kepada kerajaan.

Ia juga sejajar dengan idea Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan saiz sektor awam pada masa akan datang menerusi usaha perindustrian.

“Ini akan mengurangkan perbelanjaan pengurusan kerajaan, khususnya ke atas emolumen yang merupakan bahagian terbesar daripada jumlah perbelanjaan iaitu kira-kira 30 peratus,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :