NASIONAL

ECRL mampu bantu kontraktor tempatan terbabit projek mega

KUALA TERENGGANU, 1 MEI: Keputusan kerajaan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi nafas baru kepada kontraktor di Terengganu yang semakin ‘ketandusan’ projek mega.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT), Zamri Awang Hitam berkata, pengumuman itu sememangnya dinanti-nantikan mereka, kerana pelbagai manfaat bakal diperoleh daripadanya.

Katanya, selepas projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 yang siap pembinaannya pada 2015, tiada lagi projek berstatus mega dilaksanakan di negeri itu, hingga kontraktor mengalami penyusutan pendapatan dan perkembangan ekonomi negeri turut perlahan.

“Terdapat kira-kira 4,000 anggota PKMMT di seluruh negeri, dengan 70 hingga 80 peratus daripadanya terdiri daripada kontraktor kecil, iaitu dari gred G1 sehingga G5.

“Banyak rungutan yang kita terima daripada mereka berkenaan ketiadaan projek sejak kebelakangan ini, sehinggakan ada daripadanya terpaksa gulung tikar, dan ada juga yang tinggal nyawa-nyawa ikan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Oleh itu, beliau amat yakin bahawa pelaksaaan projek ECRL akan memberi sinar baharu kepada golongan kontraktor, kerana banyak projek sosio-ekonomi yang boleh diterokai.

Seorang pemilik syarikat pembinaan, Tengku Mahri Tengku Chik berkata, rundingan baharu ECRL antara Malaysia dengan China yang berjaya meningkatkan penglibatan kontraktor tempatan daripada 30 peratus ke 40 peratus, adalah satu pencapaian sangat besar.

Katannya, pertambahan itu secara langsung akan menyediakan lebih banyak peluang projek, sekali gus menarik penglibatan lebih ramai kontraktor tempatan.

“Perkiraan mudah yang boleh kita buat iaitu sekiranya projek di Terengganu bernilai RM1 billion, maka 40 peratus daripadanya adalah RM400 juta. Nilai RM400 juta ini sangat besar dan jika diagih-agihkan kepada kontraktor negeri, amat membantu bagi menjana pendapatan dan memulihkan syarikat yang tenat,” katanya.

Tengku Mahri berkata, apa yang perlu ialah usaha keras dan profil syarikat yang cemerlang bagi mendapatkan tender, malah kerajaan juga perlu membuat agihan secara adil bagi membantu kontraktor kecil.

Seorang lagi kontraktor tempatan, Hanafiah Hanafee berkata, pelaksanaan ECRL akan memberi pelbagai impak termasuk mewujudkan peluang projek serta industri hiliran, yang akan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Beliau berkata, antara bidang yang boleh dimanfaatkan kontraktor tempatan termasuk projek sivil, mekanikal dan elektrikal, yang tidak memerlukan kepakaran tinggi dan khusus, seperti pembinaan rel yang perlu dibawa dari China.

“Kerja-kerja sivil ini seperti kerja-kerja tapak dan pembinaan bangunan stesen, yang mana kontraktor tempatan memang sudah lama berkecimpung dan mahir. Begitu juga dengan kerja-kerja elektrikal yang mana kita ada banyak syarikat tempatan yang bagus-bagus, dan juga berpengalaman dalam projek besar,” katanya.

Bagi masyarakat setempat pula, Hanafiah berkata mereka boleh mengambil peluang dalam bidang perniagaan makanan dan peruncitan terutama di stesen-stesen yang bakal diwujudkan kelak.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :