A wounded Palestinian demonstrator is evacuated during a protest against U.S. embassy move to Jerusalem and ahead of the 70th anniversary of Nakba, at the Israel-Gaza border in the southern Gaza Strip May 14, 2018. REUTERS/Ibraheem Abu Mustafa – RC1119F74020
GLOBAL

Empat maut, berpuluh cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di Timur Gaza

GAZA, 4 MEI: Empat penduduk Palestin terbunuh manakala 51 lagi cedera semasa bertempur dengan tentera Israel pada Jumaat di timur Semenanjung Gaza berhampiran sempadan Israel, lapor agensi berita China Xinhua memetik sumber anggota pasukan perubatan dan keselamatan.

Ashraf al-Qedra, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, memaklumkan pemberita bahawa dua penunjuk perasaan telah ditembak mati manakala 51 lagi cedera selepas terkena bedilan tentera Israel semasa tunjuk perasaan mingguan anti-Israel di timur Semenanjung Gaza.

Al-Qedra berkata, dua lagi penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara oleh pesawat pejuang Israel di pusat bandar Semenanjung Gaza yang terletak di timur kem pelarian al-Mughazi berhampiran sempadan Israel.

Pertempuran pada Jumaat meletus pada waktu petang semasa perhimpunan dan tunjuk perasaan mingguan berlangsung, yang dikenali sebagai Perarakan Pulang Besar-Besaran dan Memecah Kepungan Israel, yang telah diadakan sejak 30 Mac tahun lepas.

Suruhanjaya Tertinggi Perarakan Pulang Besar-Besaran dan Memecah Kepungan Israel telah menyeru penduduk Palestin menyertai tunjuk perasaan mingguan bagi membantah keputusan Amerika Syarikat (AS) yang memberikan kedaulatan kepada Israel terhadap wilayah Syria, Golan Heights.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata sejak tunjuk perasaan meletus tahun lepas, tentera Israel telah membunuh 275 penunjuk perasaan dan mencederakan 17,000 lagi, yang secara rasmi dirujuk ke beberapa hospital di Semenanjung Gaza.

Radio Israel melaporkan bahawa beribu-ribu penduduk berhimpun rapat di pagar sempadan antara Semenanjung Gaza dan Israel sambil mengibarkan bendera Palestin, melepaskan belon, memanjat pagar sempadan serta membaling batu dan bom tangan buatan sendiri ke arah tentera rejim.

Sementara itu, sumber pasukan keselamatan berkata dua militan Hamas yang terbunuh dalam serangan udara pesawat pejuang Israel di sebuah fasiliti latihan ketenteraan yang dimiliki sayap bersenjata pergerakan Islam itu.

Serangan udara tentera Israel ke atas fasiliti latihan ketenteraan Hamas dibuat sejurus selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pasukan tentera rejim yang ditempatkan di sempadan Semenanjung Gaza, menyebabkan dua orang cedera.

Seorang jurucakap tentera Israel berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa pergerakan Hamas bertanggungjawab atas serangan itu.

Sayap bersenjata Palestin, termasuk pergerakan Islam Hamas, telah memberikan amaran kepada Israel bahawa ia akan bertindak balas atas pembunuhan tiga penduduk Palestin di Semenanjung Gaza sebelum itu pada Jumaat.

Pada Khamis, dua delegasi yang mewakili pergerakan Islam Hamas dan Jihad Islam berlepas ke Mesir untuk mengadakan rundingan di Kaherah dengan para pegawai kanan risikan keselamatan Mesir berkaitan kemungkinan mencapai persetujuan dengan Israel untuk memulihkan ketenangan di Semenanjung Gaza.

Khader Habib, seorang pemimpin kanan Jihad Islam sebelum itu memberitahu Xinhua bahawa kunjungan dua delegasi itu ke Kaherah bertujuan membincangkan perkembangan baru-baru ini di Semenanjung Gaza dan perjanjian ke arah memulihkan ketenangan di kawasan itu dengan Israel.

Para pegawai kumpulan itu menuduh Israel tidak komited dengan perjanjian tersebut, terutama berkaitan langkah untuk menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007.

Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menjadi pengantara selama beberapa bulan ke arah mencapai persetujuan Palestin dan Israel dalam usaha memulihkan ketenangan di Semenanjung Gaza dan meringankan beban hidup di enklaf pesisir itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :