NASIONAL

Empat maut dalam kemalangan di Kuala Nerus

KUALA NERUS, 25 MEI: Empat maut manakala seorang lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kampung Sungai Ikan, di sini pagi tadi.

Pegawai Operasi Bomba Kanan ll Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Hasmadi Sulaiman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu daripada orang awam pada 9.30 pagi tadi.

Beliau berkata kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah kereta Peugeot, dimana pemandu kedua-dua kenderaan itu meninggal dunia dalam kejadian.

“Pemandu dan seorang penumpang yang berada di dalam kereta Peugeot disahkan meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Dalam kereta Wira Aeroback pula, pemandu dan seorang penumpangnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasmadi berkata sebuah jentera ‘water tender’ dengan kekuatan 11 anggota dan sebuah ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

Beliau berkata kesemua mayat mangsa yang tersepit telah dikeluarkan oleh pihak bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital dengan ambulans.

-BERNAMA


Pengarang :