NASIONAL

ESSCom tumpaskan sindiket, rampas rokok seludup RM455,000

BELURAN, 20 MEI: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sini berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 84,500 bungkus rokok yang dianggarkan bernilai RM455,000 dengan menahan lima lelaki tempatan dalam satu operasi khas ESSCom di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, semalam.

Komander ESSCom DCP, Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua suspek yang masing-masing memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Sandakan kira-kira pukul 5.45 petang.

“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota ESSCom telah menahan dan memeriksa lima buah kenderaan SUV yang datang dari arah Kota Kinabalu dalam keadaan mencurigakan.

“Kesemua pemandu yang berumur 18 hingga 46 tahun telah diarahkan turun untuk membuat pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan SUV itu dipenuhi oleh kotak-kotak rokok disyaki rokok seludup yang belum dibayar cukai kastam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hazani, jenis rokok seludup yang dirampas ialah 45,800 bungkus Astro merah; 22,880 bungkus Astro hijau; 1,850 bungkus Astro hitam; 1,200 bungkus rokok Extreme; 4,500 bungkus Era Biru; 3,600 bungkus rokok Absulete (kretek); 2,670 bungkus rokok Apache dan 2,000 bungkus Era Hitam.

“Saya percaya rokok-rokok ini cuba diseludup dari negara jiran Indonesia untuk dipasarkan di kawasan pantai timur Sabah khususnya di daerah Sandakan berdasarkan kepada modus operandi dan pengakuan kelima-lima suspek,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Beluran untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Turut disita lima kenderaan SUV iaitu empat jenis proton Exora dan sebuah Toyota Innova dengan anggaran nilai berjumlah RM250,000.

Beliau berkata anggaran nilai taksiran cukai kastam yang belum dibayar bagi rokok seludup berkenaan adalah lebih RM650,000.

Hazani berkata, ESSCom akan sentiasa memperketat kawalan terutamanya di kawasan yang disyaki menjadi laluan penjenayah dan kemasukan pendatang asing tanpa izin dengan mengadakan operasi khas secara berkala dalam usaha untuk membendung dan mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi serta aktiviti pemerdagangan manusia.

– BERNAMA

 


Pengarang :