RENCANA

EU, Perancis bukan musuh minyak sawit

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Kesatuan Eropah (EU) dan Perancis bukan musuh minyak sawit dan kedua-dua pasaran itu akan terus terbuka menerima tanaman tersebut terutamanya sekarang dengan dasar-dasar berwibawa kerajaan Pakatan Harapan dalam melindungi alam sekitar.

Dalam membuat kenyataan itu, Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche mengakui bahawa perkaitan antara minyak sawit dengan penebangan dan kemusnahan hutan sejak sekian lama telah menjejaskan imejnya tetapi keadaan telah berubah.

“Saya dapat lihat bahawa kerajaan Malaysia sedang menangani dengan positif isu alam sekitar dan defisit kepercayaan dalam kalangan pengguna Eropah. Ia menumpukan usahanya bagi dua objektif ini, yang saya fikir adalah sangat baik dan penting.

“Di satu pihak, anda ada persediaan untuk mempromosikan minyak sawit dan memperbaiki imejnya yang masih negatif dalam pandangan umum. Jadi kerajaan melancarkan kempen promosi Love MY Palm Oil (Sayangi Minyak Sawit Malaysia) bagi membantu membersihkan nama tanaman itu,” katanya kepada Bernama.

“Dan keduanya, pembangunan dasar untuk menggalakkan perlindungan alam sekitar, termasuk mengekalkan lebih 50 peratus hutan hujan tropika dengan pelbagai biodiversiti, mengehadkan jumlah bagi kawasan sawit di Malaysia pada 6.5 juta hektar (daripada 5.8 juta hektar pada 2018) dan tiada penanaman sawit di tanah gambut serta menambah baik kelestarian sememangnya penting untuk mendapatkan kembali kepercayaan pengguna Eropah. Dan ini adalah sesuatu yang kami boleh menyokong sepenuhnya,” kata Laplanche.

Tiada larangan ke atas minyak sawit

Perkembangan lain yang menggalakkan adalah langkah Sabah mengguna pakai sepenuhnya pensijilan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan di peringkat persekutuan, usaha bagi inisiatif pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

“Selain Kementerian Industri Utama, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga merangka dasar kukuh bagi pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan solar.

“Selain itu, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli membangunkan dasar-dasar untuk membendung penebangan hutan di kawasan yang terdegradasi. Jadi gabungan semua ini akan menjadikan dasar lebih kukuh dan berwibawa bagi alam sekitar,” jelasnya.

Laplanche menegaskan bahawa tidak ada larangan minyak sawit memasuki EU, tetapi apa yang berlaku adalah Perancis dan EU secara keseluruhan beransur-ansur menarik balik insentif bagi minyak sawit untuk ditambah ke dalam campuran diesel.

“Alasan (penarikan balik insentif itu) adalah kerana pengiraaan yang dibuat menunjukkan terdapat masalah keseimbangan dan kesan karbon.

“Sudah tentunya saya perlu terangkan bahawa, walaupun tiada larangan, langkah-langkah ini kemungkinan akan membawa kepada pengurangan penggunaan minyak sawit sebagai biofuel di Eropah, bergantung kepada harga bahan api fosil.

“Sememangnya, dengan menarik balik insentif fiskal itu, kes ekonomi bagi menambah minyak sawit ke dalam diesel akan luput kerana minyak sawit lebih mahal berbanding bahan api fosil tradisional pada harga pasaran semasa.

“Namun, penting untuk memahami bahawa ia bukan larangan, dan kami hanya memperkatakan tentang menarik semula insentif, dan hanya bagi minyak sawit sebagai biofuel. Tidak ada sama sekali perubahan dalam dasar berkaitan minyak sawit digunakan bagi produk makanan dan bahan asas bagi industri oleokimia di peringkat Perancis mahupun EU,” katanya.

EU bukan musuh minyak sawit

Beliau berkata EU adalah antara yang pertama memperkenalkan insentif bagi biofuel dan merupakan antara rantau terakhir di dunia yang masih memberikan insentif bagi minyak sawit dan biofuel.

“Kebanyakan negara lain sama ada tidak pernah memberikan insentif bagi minyak sawit untuk memasuki pasaran mereka sebagai biofuel ataupun telah menarik baliknya sejak lama dahulu. Oleh itu saya tidak mahu orang memikirkan bahawa EU adalah musuh minyak sawit, dan Malaysia. Ia tidak benar,” katanya.

EU, katanya, sentiasa menyediakan pasaran yang besar bagi minyak sawit Malaysia, dan menjadi pelanggan kedua terbesar minyak sawit di dunia, di belakang India.

Beliau juga berkata EU tidak akan mengubah tarif import ke atas minyak sawit dan malahan, tarif bagi minyak sawit diimport ke kesatuan itu adalah antara yang terendah di dunia.

Paris baru-baru ini mengeluarkan perangkaan baharu bagi perdagangan dua hala Perancis-Malaysia, yang menunjukkan peningkatan 11.4 peratus bagi eksport Malaysia ke Perancis tahun lepas dalam semua produk, mencecah lebih daripada RM11 bilion.

Dengan pertumbuhan lebih sederhana eksport Perancis ke Malaysia pada 3.4 peratus, negara ini mencatatkan lebihan perdagangan hampir RM2 bilion dengan Perancis, peningkatan 73 peratus berbanding 2017.

Wujudkan dialog Malaysia, Perancis

Sementara itu, Laplanche turut membangkitkan keperluan menjalin dialog lebih erat antara kerajaan Perancis dan Malaysia.

“Itulah yang kami usahakan pada masa ini, mewujudkan seberapa banyak dialog dengan kerajaan dan pengeluar minyak sawit.

“Malah, kami turut memutuskan untuk membawa Duta Alam Sekitar kami, Yann Wehrling melawat Malaysia pada awal April (lepas). Beliau dibawa ke Sabah bagi meninjau projek pemuliharaan, habitat hidupan liar serta ladang kelapa sawit untuk melihat sendiri apa yang sebenarnya berlaku di situ.

“Seterusnya kami kembali ke Kuala Lumpur untuk mengadakan sesi dengan jawatankuasa bersama kedua-dua kerajaan membabitkan kerjasama minyak sawit. Secara asasnya, pasaran di Perancis dan Eropah akan terus terbuka bagi minyak sawit Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada EU akan kekal sebagai pembeli minyak sawit kedua terbesar dunia, beliau berkata sebarang perubahan itu adalah mengikut populasi dan pembangunan di negara lain.

“Kami mempunyai rakyat seramai 500 juta orang manakala China ada kira-kira 1.4 bilion penduduk, India 1.3 bilion penduduk…namun saya berani katakan bahawa Eropah, termasuk Perancis akan terus menjadi pelanggan penting minyak sawit,” katanya.

Pada 2018, India merupakan pembeli minyak sawit terbesar dunia iaitu sebanyak 15 peratus dan diikuti EU (12 peratus), China (11 peratus), Pakistan (7.0 peratus), Filipina (4.0 peratus), Turki (4.0 peratus) dan Amerika Syarikat (3.0 peratus).

Kerjasama pertanian

Selain itu, Laplanche turut menggesa agar Malaysia dan Perancis mewujudkan kerjasama dalam bidang alam sekitar dan pertanian.

Beliau berkata, sama seperti Malaysia, pertanian di Perancis juga berteraskan ladang milik keluarga dan negara itu boleh berkongsi pengalaman dari segi pembangunan pertanian organik dan penjenamaan tempatan yang khusus dalam konteks pertanian ladang kecil.

“Menerusi pengalaman ini, Perancis mahu ketengahkan lebih banyak nilai untuk ladang milik keluarga. Itulah yang kami harap dapat paparkan dalam dialog dengan Malaysia.

“Bagi minyak sawit pula, kami mempunyai sebuah pusat penyelidikan di sini yang mengkaji agronomi minyak sawit dan dikenali sebagai CIRAD (Pusat Penyelidikan Pertanian bagi Pembangunan Antarabangsa). Inilah bidang yang boleh kita usahakan bersama bagi memastikan hasil sawit ini dapat tumbuh dalam persekitaran terbaik.

“Anda boleh meningkatkan pendapatan tanpa perlu menambah jumlah kawasan (penanaman). Hasil di kawasan sama dapat ditingkatkan dan itulah antara misi yang sedang diusahakan oleh pusat penyelidikan Perancis itu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :