SELANGOR

EXCO: Ibu seharusnya dihargai setiap hari

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 MEI: Mereka yang bergelar ibu seharusnya dihargai anak setiap hari dan bukannya pada hari tertentu sahaja, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, kebelakangan ini ramai dalam kalangan anak-anak sibuk menjaga keluarga sendiri sehingga terlupa ibu juga memerlukan perhatian.

Namun, katanya, sebagai seorang ibu sentiasalah bertabah dan bersabar dalam apa jua keadaan.

“Kepada semua yang bergelar ibu di luar sana, anda seharusnya dihargai anak-anak setiap hari bukan hanya pada hari tertentu. Namun lumrah manusia, anak-anak perlu diingati berkenaan pengorbanan ibu dan bapa terhadap mereka.

“Ramai anak-anak yang sibuk menjaga keluarga mereka sendiri (anak dan isteri) tetapi melupakan yang ibu mereka juga memerlukan perbelanjaan dan perhatian.

“Bertabahlah wahai ibu. Ampuni anakmu dan teruskan berdoa untuk anak-anakmu. Semoga Allah SWT menghitung ibadahmu membesarkan anak-anak dengan susumu. Redhailah anak-anakmu,” tulisnya di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Hari Ibu disambut seluruh dunia pada 12 Mei setiap tahun.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan ajaran Islam sebagai seorang anak penting untuk mereka menghargai ibu dengan penuh kasih sayang tidak kira masa dan di mana jua.


Pengarang :