SELANGOR

EXCO junjung kasih titah RMS, kaji masa depan anak yatim

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 12 MEI: EXCO Pembagunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman menjunjung kasih titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mahu masa depan anak yatim di Selangor diberi perhatian.

Beliau berkata, baginda menitahkan demikian dalam perbincangan pada majlis penyerahah sumbangan kepada anak yatim.

“Antara perkara dititahkan baginda adalah berkaitan masa depan anak yatim ini apabila mereka besar nanti.

“Perkara ini saya akan ambil perhatian untuk dibawa dalam portfolio saya berhubung hala tuju apabila mereka dewasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri 2019 Kepada Anak-Anak Yatim Rumah Kasih Harmoni, Kampung Paya Jaras di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, antara langkah awal diambil adalah mendapatkan statistik anak yatim di Selangor berdasarkan peringkat umur.

Katanya, statistik itu akan memudahkan pihaknya menyusun strategi mendekati golongan itu khasnya kelompok lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Saya yakin ada beberapa kaedah sesuai untuk membantu mereka seperti mengadakan taklimat pekerjaan kepada mereka dan lain-lain,” katanya.

Mohd Khairuddin berharap supaya syarikat swasta menampilkan diri untuk mendekati anak yatim dan membuka peluang pekerjaan.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :